Sunday, June 14, 2026

JSP APIUM anjur kursus lahirkan modal insan mahir industri halal

Mesti Baca

DALAM era globalisasi dan perkembangan pesat industri halal, keperluan untuk melahirkan individu yang berkelayakan dan profesional dalam bidang tersebut semakin mendesak.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Syariah dan Pengurusan (JSP) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Halal Eksekutif.

Pengarah progran, Amir Haidar Abdul Samad berkata, seramai 50 peserta terbabit dalam program itu yang bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran teknikal berkaitan pengurusan industri halal, sekali gus dalam usaha menyokong Dasar Halal Negara 2035.

Katanya, Kursus Halal Eksekutif itu dirancang untuk melahirkan individu profesional yang berkelayakan untuk bekerja sebagai eksekutif halal dan dalam pelbagai jawatan lain yang berkaitan dengan industri halal.

INSYIRAH MOHD ZULI

“Ini adalah kali pertama program ini diadakan, dan ia melibatkan tajaan bernilai RM50,000 dari Affin Islamic Bank melalui pengagihan zakat. Kerjasama ini jelas menunjukkan komitmen pihak korporat dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, objektif program itu adalah untuk membantu pelajar asnaf dari golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan kemahiran baharu dan menambah pengetahuan sebagai persediaan sebelum tamat pengajian.

Selain itu, katanya, ia juga berhasrat untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan khususnya mereka yang berhasrat untuk berkecimpung dalam industri halal.

“Melalui modul yang disediakan di bawah Majlis Profesional Halal (HPB), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), program ini juga bertujuan untuk melahirkan eksekutif halal yang diiktiraf oleh Jakim,” katanya.

Sementara itu Pengarah UMHRC, Prof Madya Dr. Zalina Zakaria berkata, kursus seperti itu adalah langkah penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dalam industri halal.

“Kami percaya bahawa dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, peserta akan dapat
menyumbang kepada pembangunan industri halal di Malaysia kelak,” katanya.

Salah seorang peserta program, Insyirah Mohd Zuli berkata, kursus tersebut sangat membantu menambah baik persediaannya sebagai seorang graduan kerana ia membuka peluangnya menceburi bidang kerjaya sebagai seorang eksekutif halal. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan