Saturday, June 13, 2026

EAIC kecewa hukuman pegawai, kru kapal APMM terlalu ringan

Mesti Baca

SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kecewa dengan tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenakan hukuman terlalu ringan terhadap pegawai dan anggotanya yang terbabit dalam insiden kapal agensi itu bertambat dengan bot nelayan Vietnam di Kelantan pada 7 Julai 2023.

EAIC dalam satu kenyataan berkata, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) APMM ternyata tidak mengikut syor hukuman pihaknya sebaliknya memutuskan Pegawai Memerintah kapal tersebut hanya dikenakan hukuman denda (jumlah tujuh hari emolumen).

Manakala pegawai dan anggota lain pula didapati tidak bersalah kerana bertindak mengikut arahan Pegawai Memerintah sahaja.

“EAIC amat kecewa dengan keputusan hukuman PBT APMM kerana EAIC berpendapat hukuman yang dikenakan adalah bersifat terlampau ringan dibandingkan dengan salah laku oleh Pegawai Memerintah, Pegawai dan anggota kapal APMM tersebut yang tidak mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas,” kata kenyataan suruhanjaya itu hari ini.

Dalam kejadian 7 Julai 2023 itu, EAIC menyiasat satu rakaman video yang memaparkan sebuah kapal APMM bertambat dengan bot nelayan Zon C yang dikendalikan oleh awak-awak Vietnam di perairan Kelantan.

Siasatan ini dijalankan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

EAIC berkata, hasil siasatan mendapati terdapat salah laku oleh Pegawai Memerintah, pegawai dan anggota APMM berdasark fakta dan keterangan iaitu kapal tersebut bertambat dengan bot nelayan tanpa kebenaran pada kira-kira 8 malam hingga 3.40 pagi.

Selain itu, kapal Maritim Malaysia juga didapati telah menghantar laporan kedudukan, haluan dan laju (KHL) serta laporan situasi (LS) yang mengandungi maklumat tidak benar kepada Maritime Operational Command (MOC).

“Borang penggeledahan yang dikeluarkan oleh kapal APMM mengandungi butiran palsu berkaitan pemeriksaan yang dilakukan terhadap bot nelayan Zon C dan tiada laporan dibuat mengenai insiden melepaskan tembakan semasa pengejaran bot nelayan asing Vietnam pada 12 Julai 2023.

“Pegawai dan anggota kapal APMM didapati telah bertambat sebanyak dua kali dengan bot nelayan Zon C serta terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan memancing ikan, yang menimbulkan persepsi negatif dan mencemarkan imej pasukan,” kata EAIC.

Atas salah laku tersebut, EAIC mengesyorkan hukuman di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] kepada PBT APMM bagi tujuan tindakan disiplin terhadap Pegawai Memerintah termasuk turun pangkat atau buang kerja.

EAIC juga mengesyorkan syor hukuman di bawah Peraturan 36 P.U. (A) 395/1993 terhadap pegawai dan anggota kapal APMM bagi tindakan disiplin selain daripada turun pangkat atau buang kerja.

Manakala Pegawai Siasatan EAIC telah membuat laporan polis berhubung pengeluaran borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek jenayah komersial.

EAIC berkata, pihaknya komited dalam memastikan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan agensi penguatkuasaan demi menjaga kepercayaan masyarakat terhadap sistem penguatkuasaan negara. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan