Wednesday, July 22, 2026

Bekas kapten Australia sah jadi penolong kepada Cklamovski

Mesti Baca

BEKAS kapten skuad kebangsaan Australia, Mark Milligan disahkan bakal menggalas tugas penolong ketua jurulatih bagi skuad Harimau Malaya.

Milligan, 39, akan bergandingan dengan Peter Cklamovski untuk membentuk skuad terhebat Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bulan depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, keputusan Milligan berhijrah ke negara ini kerana beliau cukup tertarik dengan projek revolusi yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Bekas penolong jurulatih Adelaide United itu memberitahu, beliau tidak sukar untuk membuat keputusan menyertai projek revolusi pasukan kebangsaan.

“Ia amat baik untuk saya berada di sini (Malaysia) dan memulakan tugas seawal mungkin. Saya sangat teruja dengan projek ini dan membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih baik.

“Apabila peluang untuk bersama Harimau Malaya tiba, ia menjadi peluang untuk saya sebagai jurulatih dan menjadi sebahagian daripada projek yang amat mengujakan.

“Ia satu keputusan yang mudah untuk bersama projek ini setelah saya dihubungi oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya dipetik dari media sosial FAM.

Milligan berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya selaku bekas pemain mahupun jurulatih untuk menyuntik aura baharu buat Harimau Malaya.

“Pengetahuan saya berdasarkan pengalaman beraksi di serata Asia sudah pasti bermanfaat kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya.

“Saya melihat ia sebagai satu aset bukan sahaja untuk membantu persiapan pasukan kebangsaan malah untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa bangga untuk melihat pemain muda negara diberi peluang oleh kelab untuk beraksi pada peringkat tertinggi kejohanan di Asia.

“Perkara yang paling penting adalah kelab terus memberikan ruang kepada pemain muda beraksi dan saingan liga yang kompetitif bakal membantu pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Milligan tiba di tanah air pada pertengahan Februari lalu sebelum memulakan tugasnya membantu Cklamovski dengan menyaksikan Final 1 MFL Challenge Cup di antara Selangor menentang PDRM, Sabtu lalu.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan