23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Sah Cklamovski kendali skuad Harimau Malaya, Nafuzi B23

Mesti Baca

SEBAGAIMANA khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini, hari ini disahkan bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya.

Turut dilantik bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain yang akan mengendalikan pasukan Bawah 23 Tahun negara.

Pelantikan kedua-dua pengendali itu adalah sebahagian inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membuat perubahan dan pembaharuan untuk memantapkan aspek pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang berperanan terhadap para pemain kebangsaan.

“Justeru, FAM pada hari ini mengumumkan secara rasmi nama dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan,” kata kenyataan itu hari ini.

FAM berkata, di bawah revolusi itu, fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula FAM.

Kenyataan itu berkata, Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan tersebut selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber.

Advertisements

Katanya, ini bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Cklamovski, 46,  pernah bekerja di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou selama 15 tahun ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan membawa kelab Jepun, Yokohama F. Marinos muncul juara Liga J1 pada 2019.

Sejak berkelana ke Jepun, Cklamovski telah mengemudi kelab-kelab di sana dengan jayanya antaranya  Shimizu S-Pulse, Montedio Yamagata dan FC Tokyo.

“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.

“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan H bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” kata FAM.

Sementara Nafuzi yang juga Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 bertanggunjawab memastikan skuad B-23 kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Kedua-dua individu ini akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025,” kata FAM. – Edisi 9 

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan