
BAYANGKAN sebuah dana pelaburan dunia seperti Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) yang menjadi tumpuan kerana memiliki dana kekayaan terbesar dunia, dengan aset melebihi AS$1 trilion, bersetuju untuk melabur dengan nilai jangka panjang di negara kita.
Inilah hakikat yang sedang berlaku di Malaysia, sebuah destinasi pelaburan yang semakin diiktiraf di peringkat global.
Berkat kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah berjaya menarik perhatian ADIA, sebuah institusi pelaburan ulung yang yang telah membuat pelaburan dalam pelbagai projek mega di seluruh dunia, termasuk lapangan terbang di Eropah dan pelabuhan penting di Asia.
Dalam satu pertemuan strategik bersama barisan kepimpinan ADIA, Anwar berjaya meyakinkan ADIA bahawa peluang baharu untuk melabur di sektor penting negara kita telah dibuka.
Ini sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi Madani.
Apakah rahsia di sebalik keyakinan ADIA terhadap Malaysia? Bagaimana pelaburan ini mampu mengubah landskap ekonomi negara, mencipta peluang pekerjaan baharu, dan memacu pembangunan yang mampan?
Pelaburan ADIA di Malaysia
Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama pelaburan antarabangsa hasil usaha gigih kerajaan di bawah kepimpinan Anwar.
Dalam lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, telah mencetuskan perbincangan strategik bersama ADIA salah satu dana kekayaan terbesar dunia dengan aset melebihi AS$1 trilion.
Hasilnya, ADIA mengukuhkan komitmennya untuk terus melabur di negara ini, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap dasar mesra pelabur kerajaan Malaysia.

Sejak penubuhannya pada tahun 1976, ADIA telah memainkan peranan penting sebagai pelabur global yang berfokus pada penciptaan nilai jangka panjang.
Dengan strategi pelaburan yang berasaskan kepada kepelbagaian dan keberanian mengambil peluang baru, ADIA melabur dalam pelbagai kelas aset termasuk ekuiti, pendapatan tetap, dana lindung nilai, hartanah, ekuiti swasta, dan infrastruktur.
ADIA telah diasaskan oleh Sheikh Zayed bin Sultan Al Nayan, yang merupakan bekas Amir Abu Dhabi dan Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Beliau yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Negara kini melantik anak kedua beliau, Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ADIA.
Semasa lawatan kerja ke UAE, Anwar bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berjaya membuka ruang baharu untuk kerjasama strategik antara Malaysia dan UAE.
Dalam pertemuan itu, para pemimpin negara bertemu dengan Sheikh Hamed, serta barisan kepimpinan lain termasuk Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri,
Mengapa Malaysia?
Malaysia, sebuah negara yang terletak di garisan khatulistiwa di tengah-tengah Asia Tenggara, mempunyai kedudukan strategik antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan.
Lokasinya yang unik menghubungkannya dengan rangkaian pengangkutan udara dan laluan perkapalan utama dunia, menjadikan negara ini sebagai hab semula jadi untuk perdagangan dan pelaburan.
Dengan ekonomi yang kukuh dan mampan, Malaysia telah membentuk kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, didorong oleh dasar yang berpandangan jauh, tenaga kerja yang mahir, dan persekitaran mesra perniagaan.
Malaysia menikmati kelebihan ini dengan populasi seramai 33.2 juta orang (suku pertama 2023) yang berbilang budaya dan bahasa.
Penguasaan bahasa Inggeris, Mandarin, Hindi, Tamil, dan Melayu dalam kalangan rakyatnya memperkukuhkan kerjasama perniagaan antarabangsa dan memudahkan hubungan antara budaya serta ekonomi.
Ekonomi Malaysia disokong oleh struktur yang pelbagai, melibatkan sektor pembuatan, teknologi, perkhidmatan, dan industri berasaskan sumber.
Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$252 bilion (RM1,110 bilion) pada tahun 2022 dan kadar pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 9.3 peratus, Malaysia telah menunjukkan pemulihan yang signifikan daripada cabaran tahun sebelumnya.

Pendapatan perkapita sebanyak AS$11,746 (RM53,379) pada tahun 2022 mencerminkan kemajuan ekonomi yang mampan, manakala kadar inflasi yang stabil pada 3.3 peratus memastikan kemampuan rakyat untuk berbelanja.
Menurut Richard Record, seorang pakar ekonomi dari Bank Dunia, daya tahan Malaysia berpunca daripada asas ekonomi yang kukuh, tindak balas kesihatan awam yang berkesan, dan dasar makroekonomi yang proaktif.
Faktor-faktor ini membolehkan Malaysia mengatasi cabaran global dengan lebih baik berbanding banyak negara lain.
Persekitaran perniagaan yang mesra pelabur menjadi faktor utama tarikan pelaburan ke Malaysia.
Negara ini menawarkan penyelesaian kos efektif untuk perniagaan yang ingin mendapatkan kelebihan kompetitif, terutamanya dalam sektor perkhidmatan bersama dan teknologi canggih.
Sektor kewangan Malaysia yang kukuh dan bermodal baik menambah keyakinan pelabur, manakala rizab antarabangsa sebanyak AS$114.6 bilion pada tahun 2022 membuktikan kestabilan kewangan negara dan keupayaannya menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Fokus strategik Malaysia terhadap inisiatif masa hadapan mengukuhkan peranannya sebagai peneraju di Asia Tenggara.
Pelaburannya dalam teknologi maju, pasaran buruh yang dinamik, dan ekosistem perniagaan yang menyeluruh menyokong industri yang berada di hadapan inovasi.
Dalam menghadapi ekonomi global yang semakin berubah, Malaysia terus memanfaatkan ekonomi yang pelbagai dan tenaga kerja mahirnya untuk mengekalkan daya saing serta relevansi.
Gabungan kedudukan geografi yang strategik, daya tahan ekonomi, dan dasar yang berpandangan jauh menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan dan perdagangan.

Dengan indikator ekonomi yang kukuh dan rakyat yang berkemahiran tinggi, Malaysia berada di landasan untuk terus berkembang di tengah-tengah dinamik global yang berubah, mengekalkan statusnya sebagai hab pertumbuhan dan inovasi.
Reputasi ADIA sebagai pelabur berimpak tinggi terbukti melalui pelaburannya dalam infrastruktur penting seperti lapangan terbang di United Kingdom dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di UAE, projek logistik di India, serta sektor tenaga di Amerika Syarikat.
Kehadiran ADIA di Malaysia juga bukan perkara baharu, dengan sumbangan penting dalam penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama Global Infrastructure Partners (GIP) serta pelaburan dalam projek infrastruktur utama.
ADIA menyatakan komitmen untuk menjajarkan pelaburannya dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi Madani, dua inisiatif penting yang dirancang untuk membawa transformasi mampan kepada ekonomi negara.
Komitmen ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan lestari.
Kepentingan pelaburan strategik kepada Malaysia
Pelaburan ADIA memberikan impak besar kepada ekonomi Malaysia. Selain menyokong transformasi MAHB, pelaburan ini turut berpotensi mencipta peluang pekerjaan baharu, memperkukuh daya saing ekonomi, serta mempercepat pembangunan infrastruktur yang lebih moden dan berdaya tahan.
Dalam konteks kerjasama global, komitmen ADIA menunjukkan keyakinan kukuh terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.
Dasar mesra pelabur yang diusahakan kerajaan membolehkan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi, sekaligus menarik lebih banyak pelabur antarabangsa ke pelbagai sektor strategik seperti kesihatan, tenaga, dan teknologi.
Kesediaan ADIA untuk terus melabur di Malaysia adalah bukti kejayaan pendekatan kerajaan yang mengutamakan dasar inklusif dan mesra pelabur.
Kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan ADIA bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala tetapi juga mengangkat kedudukan Malaysia di persada dunia sebagai pusat pelaburan yang dipercayai.
Langkah strategik seperti ini menunjukkan betapa pentingnya usaha berterusan untuk memperkukuh keyakinan pelabur antarabangsa, terutamanya dalam era persaingan ekonomi global yang semakin mencabar.
Dengan menekankan kepada perancangan jangka panjang, Malaysia dapat terus berkembang sebagai hab pelaburan serantau yang mampan.
ADIA telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur global utama dengan portfolio pelaburan yang pelbagai dalam pelbagai sektor dan lokasi.
Dengan 53 pelaburan setakat ini, ADIA menunjukkan fokus strategik pada sektor penting seperti kuasa hidro, tenaga solar dan tenaga angin mencerminkan komitmennya terhadap inisiatif tenaga mampan dan boleh diperbaharui.
Pelaburannya meliputi negara-negara seperti India, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan lain-lain mencerminkan pendekatan global terhadap pengagihan aset yang dimilikinya.
Penglibatannya dalam pelaburan terkemuka adalah Cube Highways, pelaburan signifikan yang dibuat pada tahun 2017, menekankan pembangunan infrastruktur di India.
Terkini ADIA menunjukkan minat dalam sektor rel dan pengangkutan melalui pelaburannya dalam Texmaco Rail & Engineering, dengan transaksi penting pada November 2023 dan April 2024.
Pelaburan ini menonjolkan fokus ADIA terhadap infrastruktur dan pengangkutan, yang merupakan elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi.
ADIA terus berada di barisan hadapan inovasi dan pertumbuhan melalui pelaburan terkini.
Pada November 2024, ia memperoleh QlikTech, sebuah syarikat analitik data yang berpusat di Radnor, Amerika Syarikat.
Begitu juga, pada Ogos 2024, ADIA menyertai pusingan pendanaan Siri D untuk FLYR, sebuah syarikat teknologi dari Santa Monica, Amerika Syarikat, yang memberi tumpuan kepada teknologi ramalan canggih.
Pada Julai 2024, ADIA melabur dalam Adani Energy Solutions, pemain utama dalam sektor tenaga dari Ahmedabad, India.
Pelaburan ini menunjukkan strategi seimbang yang menyasarkan teknologi baru muncul dan industri mapan.
Pelaburan ADIA menunjukkan penekanan kuat pada kemampanan, dengan tumpuan yang sama rata dalam kuasa hidro, tenaga solar dan angin, masing-masing menerima lapan pelaburan.
Pendekatan seimbang terhadap tenaga boleh diperbaharui ini menunjukkan dedikasi ADIA untuk memupuk masa depan yang mampan sambil memastikan pulangan yang kukuh kepada pihak berkepentingan.
Selama bertahun-tahun, ADIA telah membina reputasi sebagai pelabur yang berjaya mengenal pasti peluang berpotensi tinggi merentas pelbagai peringkat dan sektor.
Antara pelaburan terkemuka termasuk Jio, syarikat telekomunikasi gergasi India, dalam pusingan pendanaan Siri G pada tahun 2020, dan CarNext, syarikat automotif dari Belanda yang diperoleh pada tahun 2021.
Pelaburan ini menunjukkan keupayaan ADIA untuk mempelbagaikan portfolionya dalam pelbagai industri dan wilayah.
Strategi pelaburan ADIA adalah bukti visi globalnya untuk pertumbuhan, kemampanan, dan inovasi.
Dengan pengagihan sektor yang seimbang dan fokus yang tajam terhadap teknologi baru muncul serta infrastruktur, ADIA berada di kedudukan yang kukuh untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada ekonomi global.
Pelaburannya dalam tenaga boleh diperbaharui, analitik data, dan pengangkutan mencerminkan pendekatan berpandangan jauh, memastikan relevansi dan kejayaannya yang berterusan dalam landskap pelaburan yang dinamik.
Justeru, sinergi padu antara Malaysia dengan ADIA telah menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.
ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam menerokai pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.
Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga serta pelbagai sektor lain.
Ia juga merupakan satu pencapaian luar biasa Perdana Menteri yang memainkan peranan utama dalam meyakinkan pelabur ditambah dengan kepimpinannya yang menjadikan ekonomi dan politik negara terus mengukuh, sekali gus menjadi penyumbang utama keyakinan pelabur di negara ini. – Edisi 9

