PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak menggantung keahlian Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ekoran kongres ke-65 dan pemilihan jawatankuasa eksekutif persatuan itu tidak sah.
FAM dalam satu kenyataan berkata, keputusan penggantungan KAFA dibuat berdasarkan Artikel 14 Statut FAM dan mendapat persetujuan majoriti secara bertulis daripada Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu.
“Keputusan untuk menggantung KAFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.
“Keputusan penggantungan ini telah dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember 2024 kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028,”kata kenyataan itu hari ini.
FAM berkata, Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM itu merupakan satu jawatankuasa adhoc yang telah ditubuhkan atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Katanya, jawatankuasa itu dalam mesyuarat pada 19 Disember lalu telah memutuskan Kongres KAFA Ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan, selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul.
“Sehubungan itu, FAM telah mengarahkan supaya KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan tersebut secepat mungkin,” kata FAM. – Edisi 9