SEBARANG sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana, menurut beliau, semua kaum di negara ini adalah saling memerlu serta melengkapi terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
Beliau berkata, sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti Krismas terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping (coexistence),” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan menerusi media sosial sempena perayaan Krismas yang akan disambut oleh para penganut agama Kristian esok.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.
Sebaliknya, tegas beliau, Malaysia mesti dilonjakkan nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berharap perayaan Krismas dapat mengembangkan perpaduan di seluruh negara yang tercinta.
“Semoga musim kegembiraan ini mendekatkan kita sebagai satu keluarga, meraikan nilai-nilai bersama dan menghayati keindahan kepelbagaian kita.
“Marilah kita memupuk semangat kebersamaan untuk mengeratkan ikatan dan bekerjasama ke arah membina masa depan Malaysia yang lebih cerah dan sejahtera.
“Semoga perpaduan membimbing kita ke jalan yang lebih tinggi lagi, insya-Allah,”katanya.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berharap perayaan ini membawa kedamaian dan kasih sayang kepada semua.
“Marilah kita terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara kita yang berbilang kaum, sambil memperkukuhkan lagi semangat saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Inilah masanya untuk kita meraikan kebersamaan dan kekuatan perpaduan kita.
“Teruskanlah meraikan kepelbagaian kita dengan hati yang terbuka, dan jadikan Malaysia sebuah negara yang penuh dengan keamanan dan persefahaman yang lebih bermakna.
“Bersama kita membina masa hadapan yang lebih baik,”katanya. – Edisi 9