PEMAIN perseorangan utama, Lee Zii Jia mengetuai kemenangan pertama para pemain negara dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (WBF) di Hangzhou, China hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mudah menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen dalam masa 39 minit.
Dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou tersebut, Zii Jia bermula dengan langkah kanan apabila menang set pertama ke atas pemain berusia 34 tahun itu 21-13.
Momentum positif diteruskan pada permainan kedua apabila pemain berusia 26 tahun itu mengesahkan kemenangan 21-15.
Keputusan tersebut melebarkan jurang kemenangan Zii Jia ke atas Tien Chen kepada 6-5.
Turut melakar kemenangan ialah beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menundukkan beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 17-21, 21-18, 21-15.
Ini merupakan kemenangan pertama Aaron-Wooi Yik ke atas beregu no. 2 dunia itu daripada tiga pertemuan.
Manakala pertemuan sesama sendiri antara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai bagi beregu campuran pula berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei 14-21, 21-10, 21-14.
Bagaimanapun, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah yang diundi dalam Kumpulan A tunduk kepada beregu Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama 21-13, 17-21, 18-21.
Sementara itu, kekejangan yang dialami Goh Sze Fei menggagalkan usaha beliau dan pasangannya, Nur Izzuddin Rumsani mencipta kemenangan ke atas jaguh dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Tewas dalam set pertama 18-21, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit pada set kedua untuk menang 21-16 kepada pasangan kedua dunia itu.
Pada set ketiga, juara Terbuka China 2024 itu cuba mengejar kedudukan ketika mereka ketinggalan 6-16 dan usaha tersebut hampir berhasil apabila berjaya mengutip enam mata berturut-turut.
Bagaimanapun, Sze Fei mengalami kekejangan otot dan dia tidak dibenarkan menerima rawatan oleh umpire menyebabkan dia bermain dalam keadaan kesakitan.
Gagal menahan sakit akhirnya Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa tunduk pada set ketiga dengan 14-21. – Edisi 9