Friday, July 24, 2026

Masters China: Dua beregu campuran mara ke separuh akhir

Mesti Baca

PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menyingkirkan beregu tuan rumah Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di suku akhir Masters China di Shenzen sebentar tadi.

Ketinggalan 20-11 pada set kedua, Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking ke-10 dunia, berjaya mengutip sembilan mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan.

Melepaskan satu mata deuce, pasangan negara berjaya menamatkan aksi dengan 23-21 untuk memaksa permainan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, jelas permainan Tang Jie-Ee Wei lebih yakin dengan permainan drop-shot sehingga mematikan langkah dan memaksa beregu tuan rumah bekerja keras di sekeliling gelanggang.

Akhirnya Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan keempat kejohanan memenangi perlawanan dengan 21-16 untuk mara ke separuh akhir.

Sebelum itu, pada set pertama pasangan negara berhempas-pulas untuk mengutip mata sehingga beregu tuan rumah yang berada di ranking 13 dunia itu menang 21-14 dalam masa 21 minit.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui.

Pasangan negara yang menghuni tangga ke-23 dunia mengambil masa 31 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada pasangan ke-33 dunia itu dengan 21-10, 21-16.

Semalam, Pang Ron-Su Yin membuat kejutan menyingkirkan jaguh tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 16-21, 21-14, 21-19 di peringkat Pusingan 16.

Turut beraksi di suku akhir ialah dua beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu manakala Tze Fei-Nur Izzudin akan dicabar beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Pearly-Thinaah pula berdepan tugas getir apabila bertemu beregu no. 1 dunia yang juga wakil tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan