33.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 6, 2024

Malaysia mahu bantu bangunkan pendidikan di Afghanistan – KPM

Mesti Baca

KUNJUNGAN Kementerian Pendidikan Afghanistan ke negara ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memberi bantuan segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan, sekaligus akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara itu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, menerusi kunjungan tersebut, pihaknya telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.

“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.

Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa beliau hanya mengetahui mengenai lawatan delegasi itu daripada laporan diterbitkan sebuah portal dalam talian, baru-baru ini.

Advertisements

Ini kerana, beliau menyifatkan lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dimaklumkan kepada umum, termasuk dilibatkan sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

KPM berkata, delegasi Afghanistan juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.

Katanya, komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.

“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh
hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).

Ia juga, katanya, telah mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Banjir: PMC utamakan kesihatan pesakit sedia ada, kakitangan

PUTRA Medical Centre (PMC) Alor Setar, Kedah memperkukuh komitmen terhadap servis komuniti dengan memberi keutamaan kepada pesakit dalaman dan...

Lagi Artikel Berkaitan