SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook diingatkan bahawa walaupun beliau berjawatan tinggi tetapi jangan ingat boleh berbuat sesuka hati.
Ingatan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menerusi hantaran Facebooknya malam ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, walaupun beliau berjawatan rendah namun tetap akan terus lantang bersuara mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Iya kamu memang berjawatan tinggi, tetapi kamu jangan ingat kamu boleh buat sesuka hati kamu.
“Kami yang dianggap jawatan rendah inilah yang akan terus lantang bersuara mempertahankan agama bangsa dan tanah air ini tidak kira betapa besar jawatan yang kau ada wahai Anthony Loke Siew Fook,” katanya.
Beliau mengulas tajuk berita Malaysiakini berbahasa Cina yang dilapor berkata: “Anthony Loke berterus terang, Akmal level rendah. Tak perlu bazir masa membalas elak menjejaskan fokus terhadap tugas penting.”
Akmal yang sebelum ini lantang menyerang para pemimpin DAP turut berkata, kenyataan Anthony itu menunjukkan Menteri Pengangkutan itu seorang yang sombong.
“Baru ada pangkat,sombong! Kaduk naik junjung!,”katanya.
Sebelum ini kedua-dua pemimpin itu terlibat dalam perbalahan terbuka berhubung penajaan minuman keras untuk sekolah.
Akmal juga pernah ‘menyerang’ Naib Presiden DAP, Teresa Kok dan menggelarkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’ ekoran isu sijil halal.
Akibatnya, Teresa telah memfailkan saman terhadap Exco Kerajaan Negeri Melaka itu pada 25 Oktober lalu. – Edisi 9