SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bukit Piatu, Melaka telah berjaya memenangi Cabaran Inovasi Green Sprout, satu inisiatif utama di bawah Program Pendidikan Alam Sekitar anjuran Yayasan Forest Interactive dan Yayasan Axiata, baru-baru.
Sekolah itu mendapat tempat pertama dan memenangi wang tunai RM3,000 hasil projek yang dinamakan My Home Farmer iaitu penghasilan sistam akuaponik yang menggabungkan akuakultur (pembiakan ikan) dan hidoponik.
SK Desa Cempaka pula muncul naib juara menerusi projek Akuaponik Mesra Alam iaitu sistem akuaponik yang menyepadukan akuakultur dan hidroponik manakala sisa ikan dan air digunakan sebagai nutrien untuk tumbuhan dan menerima hadiah RM2,000.
Manakala SK Cheras Jaya pula menghasilkan sistem mudah alih yang menggabungkan hidroponik dan akuakultur dengan pemantauan secara automotik menggunakan teknologi Microbit memenangi tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.
Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Forest Interactive, Johary Mustapha berkata, Program Pendidikan Alam Sekitar merupakan sebahagian daripada usaha memupuk kesedaran dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan murid.
Beliau berkata, terdapat dua inisiatif utama di bawah program tersebut iaitu Green Bean dan Grean Sprout membabitkan lapan sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Program Pendidikan Alam Sekitar yang menjadi kemuncak dalam Cabaran Inovasi Green Sprout ini mewakili komitmen kami untuk memupuk bakat muda dan mempromosikan kelestarian alam sekitar.
“Penyelesaian inovatif yang diketengahkan oleh pelajar ini menekankan dedikasi mereka untuk mencipta penyelesaian alam sekitar yang berkesan dan praktikal,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Cabaran Inovasi Green Sprout bertujuan menangani keperluan mendesak terhadap penyelesaian kemampanan makanan dalam persekitaran bandar.
Katanya, peserta yang terdiri daripada murid tahap dua sekolah rendah ditugaskan untuk menghasilkan reka bentuk sistem pertanian inovatif khusus untuk ruang kecil di bandar seperti kondominium dan pangsapuri.
“Objektif utama adalah untuk mewujudkan sistem bagi membantu keluarga melakukan penanaman bagi menghasilkan makanan mereka sendiri, justeru meningkatkan keterjaminan makanan dan mengurangkan perbelanjaan runcit,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata, Cabaran Inovasi Green Sprout dapat menyaksikan kreativiti dan semangat anak muda Malaysia dalam penjagaan alam sekitar.
“Inisiatif ini seiring dengan misi kami untuk memupuk penjagaan alam sekitar dan memperkasakan golongan pencipta muda dalam usaha menyumbang kepada masa hadapan yang mampan,”katanya.
Tiga pasukan utama telah mempamerkan projek masing-masing pada #mydigitalmaker Fair yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 hingga15 September lalu. – Edisi 9