MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang telah terjalin sejak 15 tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama dengan Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Abu Dhabi (ACTVET) telah berjaya dalam pertukaran pelajar dan kemahiran, membina asas yang kukuh untuk sistem TVET kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia berharap kerjasama dengan ACTVET dapat terus diperkukuh melalui program latihan bersama, pertandingan kemahiran dan pertukaran pengetahuan.
“Komitmen UAE dalam memartabatkan pendidikan vokasional amat mengagumkan.
“ACTVET telah mengubah pendidikan vokasional menjadi laluan kerjaya yang dihormati dan mampan, melalui pembaharuan strategik yang dilakukan,” kata beliau hari ini.
Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara telah melakukan lawatan ke ACTVET dan bertemu Ketua Pengarahnya, Dr Mubarak Saeed Al Shamsi dan barisan kepimpinan tertinggi mereka di Abu Dhabi.
Lawatan itu, kata Zahid, membuka peluang ke arah untuk memperkukuh kerjasama antara ACTVET dan Majlis TVET Negara (MTVET) bagi mempertingkatkan sistem pendidikan vokasional di Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia turut berminat mempelajari kepakaran ACTVET dalam latihan kenderaan elektrik (EV) dan mahu ianya diterapkan ke dalam kurikulum TVET di negara ini.
“Di ACTVET, pengambilan pelajar bermula seawal usia 11 tahun, meningkat melalui tahap kemahiran dan mencapai piawaian yang diiktiraf di peringkat global seperti WorldSkills.
“Komitmen terhadap kecemerlangan ini mencerminkan aspirasi kita untuk MTVET di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, dengan mengadaptasi amalan terbaik ACTVET, Malaysia dan UAE bercita-cita membangunkan sistem TVET berkualiti tinggi yang bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal tetapi juga dapat membentuk keyakinan dan perasaan bangga kepada mereka yang mengikuti pendidikan TVET.
Sementara itu, Zahid turut melawat Space42, salah satu peneraju dalam teknologi angkasa yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), komunikasi satelit dan analitik geospatial.
“Lawatan ini menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan UAE, memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkanketahanan, dan memperkukuh kerjasama serantau,” katanya.
Zahid berkata, Malaysia mengiktiraf potensi transformasi kepakaran Space42 dalam AI, sambungan satelit, dan pengurusan risiko bencana.
“Saya turut melihat peluang berharga untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi negara dan memanfaatkan penyelesaian yang dipacu oleh AI bagi menguatkan keupayaan Malaysia dalam memantau, bertindak balas, dan mengurangkan impak bencana alam.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan mengembangkan peluang ekonomi tetapi juga memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati peningkatan akses digital.
“Saya yakin menerusi jalinan kerjasama dengan Space42, negara mampu membina masa depan di mana teknologi memajukan kemajuan dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia,” kata beliau. – Edisi 9