Tuesday, June 16, 2026

USGC Cutter Steadfast dibawa pulang penghujung tahun ini

Mesti Baca

KAPAL Cutter Steadfast milik Peronda Pantai Amerika Syarikat (USCG) yang diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka dibawa pulang penghujung tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pada masa kini kapal ronda tersebut sedang dipersiapkan di Baltimore, Amerika Syarikat sebelum dibawa pulang.

Beliau berkata, kapal tersebut berada dalam keadaan baik dan ruang kerja di dalamnya amat selesa bagi menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

“Proses baik pulih kapal berkenaan akan dilakukan dan keberadaannya di dalam inventori aset Maritim Malaysia tidak lama lagi bakal meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan dalam mengimplementasi konsep operasi berteraskan ever present dan the right asset for the right mission di Zon Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli telah meninjau proses persiapan tersebut di Baltimore ketika beliau mengadakan kunjungan ke atas Komandan USGC, Laksamana Linda Lee Fagan di Washington DC baru-baru ini.

USGC Cutter Steadfast yang bakal menjadi milik Maritim Malaysia.

Beliau berkata, antara aspek penting yang dititikberatkan sebelun membawa pulang kapal tersebut merangkumi kuasa gerak, penjanaan kuasa, struktur badan dan rangka kapal, komunikasi, pandu arah dan domestik.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat USCG Surface Acquisitions Logistic Center di mana perbincangan mengenai penyediaan peralatan sokongan kapal dan kemudahan bagi kru yang akan menjalani fasa suai kenal bersama aset tersebut turut akan diadakan.

Antara peralatan yang telah tersedia untuk diserahkan adalah meliputi peralatan Damage Control and Fire Fighting (DCFF), peralatan domestik seperti kelengkapan galley, dan peralatan serta kelengkapan Onboard Spare List (OSL).

Untuk rekod, USGC Cutter Steadfast menamatkan operasinya pada akhir tahun lalu setelah 56 tahun berkhidmat dengan pasukan itu dan telah melakukan rondaan dari Oregon sehingga ke Mexico Tengah. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan