PERKHIDMATAN Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berakhir bermula 18 Oktober setelah menerajui agensi itu sejak 2020.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, sepanjang menerajui FELDA, Amiruddin telah melalui pelbagai cabaran dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas terutama dalam tempoh pasca-pandemik COVID-19.
“Beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian FELDA, yang merangka sebuah Model FELDA Baharu.
“Model ini bukan sahaja memperkukuhkan asas organisasi, tetapi turut memberi manfaat langsung kepada warga peneroka serta meningkatkan kesejahteraan komuniti FELDA,” kata kenyataan itu, semalam.
Kenyataan itu berkata, sejak 15 Oktober 2020, Amiruddin berjaya memulihkan kewangan FELDA melalui langkah pembaharuan dan pengurusan cekap.
“Pendekatan tegas beliau dalam kawalan kos dan peningkatan hasil operasi meletakkan FELDA kembali di landasan yang stabil.
“Beliau juga menekankan pembangunan ekosistem holistik, melibatkan kecekapan operasi dan pengurusan sumber, memastikan pertumbuhan jangka panjang FELDA yang mampan dan berdaya tahan,”kata FELDA.
Katanya, asas yang dibina tersebut akan menjadi panduan untuk kejayaan FELDA pada masa hadapan.
“Seluruh Pengurusan dan Warga FELDA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Amiruddin atas kepimpinan beliau yang luar biasa, komitmen yang tidak berbelah bahagi, serta perkhidmatan cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tempoh beliau mengetuai FELDA,” katanya. – Edisi 9