SERAMAI 14 bakat muda berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 berlepas ke China bagi melanjutkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Tangshan Polytechnic University.
Menariknya, kesemua mereka merupakan anak-anak muda yang keciciran atau mempunyai akademi yang rendah.
Mereka akan menjalani latihan di peringkat diploma dalam bidang pemeriksaan kenderaan dan teknologi baik pulih khusus dalam kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik palam hibrid (PHEV) dan kenderaan elektrik petrol sel (FCEV) selama setahun.
Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, penghantaran pelatih tersebut ke China adalah hasil inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) yang menjadi platform kerjasama dua negara membangunkan TVET hasil ilham Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“MCI digerakkan secara bersama oleh Belia Mahir, Tang International Education Group China dengan sokongan dan kerjasama institusi TVET dan industri dari China,”katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kumpulan pelajar tersebut akan menjalani latihan selama setahun secara sepenuh masa dengan penajaan penuh beserta elaun sara diri.
Mereka akan mengguna pakai pendekatan Latihan Sambil Bekerja (WBL) yang turut melibatkan beberapa industri automotif terkemuka China sepanjang latihan.
“Fakta menarik yang ingin dikongsikan kesemua yang terpilih ini adalah tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik atau tidak menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Namun mereka telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih laluan TVET di peringkat SKM menerusi pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.
“Sambil membuktikan kepada kepada seluruh masyarakat bahawa pensijilan SKM mampu memberi jaminan masa hadapan yang gemilang termasuk lanjutan ke luar negara,”katanya.
Mohammad Rizan berkata, pihaknya yakin akan lebih ramai lagi bakat muda TVET tempatan bakal melanjutkan latihan di China pada tahun 2025-2026.
Katanya, ini bersandarkan kepada penglibatan seramai 1,776 orang pelajar TVET yang telah menjalani latihan jangka masa pendek antara dua minggu hingga tiga bulan dalam program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) sejak Julai tahun lalu sehingga kini. – Edisi 9