24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Maritim Malaysia perkukuh kerjasama serantau melalui HACGAM

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memanfaatkan peluang penyertaan dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi Ketua-ketua Agensi Pengawal Pantai Asia (HACGAM) di Incheon, Korea Selatan bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, menerusi persidangan tersebut, sebanyak lima teras menjadi fokus perbincangan.

Beliau berkata, Maritim Malaysia terlibat secara langsung menerusi dua teras iaitu Mencari dan Menyelamat Maritim (MSAR) serta Pencegahan dan Kawalan Pelanggaran Undang-Undang Serta Akta Di Laut yang mempunyai cabaran kompleks dalam menanganinya.

“Rantau Asia yang luas ini berdepan dengan pelbagai cabaran maritim termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan, dan ancaman terhadap keselamatan perairan. 

“Penyertaan Maritim Malaysia dalam HACGAM adalah bukti komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara serantau bagi memastikan keselamatan dan kelestarian maritim sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Siaful Lizan Ibrahim (dua kiri) mengadakan pertemuan dengan wakil Jepun sempena HACGAM di Incheon, Korea Selatan.

HACGAM Ke-20 itu berlangsung pada 3 hingga 5 September lalu disertai 20 negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, China, India, Pakistan, Bangladesh, Australia dan Turkiye selain Korea Selatan sebagai tuan rumah.

Saiful Lizan berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu-isu keselamatan maritim yang semakin kompleks di rantau Asia.

Advertisements

Beliau berkata, kepentingan kerjasama serantau dalam menangani ancaman jenayah maritim rentas sempadan yang semakin canggih perlu melalui kerjasama erat dan perkongsian maklumat yang efektif negara-negara di rantau ini agar keselamatan maritim sentiasa terpelihara.

Antara isu utama yang dibincangkan pada mesyuarat berkenaan adalah usaha membanteras jenayah maritim seperti pencerobohan bot nelayan asing di bawah lllegal Unreported and Unregulated (IUU) Fishing, penyeludupan dan pengedaran dadah, pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.

Selain perbincangan formal, mesyuarat juga menyediakan platform kepada Maritim Malaysia bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dengan agensi pengawal pantai lain dalam meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan maritim. 

Beliau berkata, initermasuklah penerapan teknologi baharu dan strategi yang lebih inovatif dalam memantau serta melindungi perairan.

Mesyuarat HACGAM kali ini diakhiri dengan beberapa resolusi penting yang akan menjadi panduan kepada negara-negara anggota dalam meningkatkan kerjasama dan keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran maritim pada masa hadapan. 

Maritim Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam inisiatif serantau yang akan datang.

Melalui penyertaan ini, Maritim Malaysia terus menunjukkan komitmen padu dalam menjaga keselamatan perairan negara dan serantau serta memperkukuhkan hubungan dengan agensi-agensi pengawal pantai lain dalam mencapai matlamat bersama untuk keamanan maritim yang berterusan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan