KEMASUKAN kanak-kanak berusia 12 tahun, Izz Imil Shahrom sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) dibuat melalui proses temuduga oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan serta diluluskan oleh Senat.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman bagaimanapun berkata, memandangkan usia Izz Imil begitu muda, beliau memohon semua pihak memberi ruang dan privasi kepada pelajar berkenaan melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti.
“Perkara ini penting bagi membolehkan dia dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kejayaan Izz Imil mendaftar masuk di UM yang dikongsi seorang pemilik akaun laman sosial Facebook, tular dan menerima pelbagai reaksi orang ramai yang kagum dengan kehebatan kanak-kanak terbabit.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bertemu Izz Imil di kampus universiti itu berkata, pelajar itu sama seperti kanak-kanak lain seusianya.
“Berpewatakan ceria dan sangat petah berbicara. Ternyata minat beliau dengan matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami juga banyak berkisar tentang nombor,” katanya yang berkongsi detik pertemuan itu di media sosialnya.
Beliau berkata, pihak universiti sendiri telah merangka beberapa perancangan khusus untuk Izz Imil agar dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan kondusif.
“Sama-sama kita doakan adik Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang dan mampu memberi hasil terbaik kepada masyarakat dan negara.
“Kepada adik Izz Imil, kita jumpa lagi nanti. Banyak lagi ‘game trick’ yang kita nak buat sama-sama nanti,” katanya. – Edisi 9