PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terkejut apabila mendapati ada kalangan pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) MARA gagal menguasai asas agama Islam termasuk syahadah dan solat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, satu modul khas akan digubal bagi memantap dan memperkasa asas agama Islam termasuk akidah dan fardu ain untuk diajar di semua institusi TVET MARA.
“Ini kerana ada juga bila diuji, yang tidak fasih mengucap bahkan solat pun masih caca-merba.
“Justeru, saya telah meminta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk mewujudkan jawatankuasa menggubal modul khas agama bagi memantapkan dan memperkasakan asas-asas agama termasuk aqidah dan fardu ain,” katanya hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, modul itu juga akan ditambah dengan kemahiran tambahan seperti asas pengurusan jenazah yang boleh menjadikan mereka bermanfaat kepada komuniti di lokaliti masing-masing.
Katanya, modul tersebut boleh dimasukkan dalam kurikulum TVET di semua institusi pendidikan MARA seperti GiatMARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Malaysian-Japanese Industrial Institute dan German Malaysia Institute.
Jelas beliau, modul tersebut penting memandangkan kerajaan telah mula mengarus-perdanakan dasar TVET dengan menjadikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kini setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pelajar-pelajar yang tidak melalui pendidikan arus perdana atau kumpulan tercicir hampir 100,000 pelajar yang diberi peluang menyambung pengajian di GiatMARA umpamanya, mesti dicanai juga aspek asas-asas agama (Islam),” katanya.
Katanya, MARA mahu melahirkan generasi TVET yang holistik dan seimbang teradun dengan empat elemen iaitu beragama, inovasi, kemahiran dan keusahawanan (RISE) – Edisi 9