27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

Zahid mahu sayap UMNO menjuarai isu kebejatan sosial

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan yang amat berhubung kebejatan sosial yang kini melanda dalam masyarakat dan mahukan sayap-sayap UMNO mengambil langkah menjuarainya.

Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri itu mahu UMNO menampilkan pendekatan, menyantuni dan melaksanakan program bagi mencari penyelesaian berhubung isu tersebut.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, antara kebejatan sosial yang membimbangkan ialah peningkatan kes jenayah, isu buli siber, buli fizikal di samping isu-isu seks luar nikah atau bawah umur, penyalahgunaan dadah dan alkohol.

“Kalau dahulu anak hilang, mak ayah akan cari di rumah kawan mana dia lari. Tapi, hari ini kalau anak hilang, mak ayah ternanti-nanti di mana mayat anak nak ditemui.

“Ini antara kebejatan sosial yang semakin membimbangkan. Untuk itu kita mesti tampil dengan pendekatan, menyantuni masyarakat dan melaksanakan program-program yang mahu orang Melayu, rakyat kembali melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tampil mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Zahid berkata, berhubung isu buli siber, berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga 10 Julai lalu, secara purata 10 kes buli siber berlaku setiap hari.

Beliau berkata, turut perlu diberi perhatian ialah isu perceraian umur muda yang semakin meningkat, keganasa rumah tangga dan seksual yang kerap dilaporkan.

“Begitu juga kita sering terbaca kisah ibu bapa yang terabai dan tinggal tanpa anak-anak bersama mereka,” katanya

Beliau berkata, kemalangan motosikal yang berkait dengan isu rempit menyaksikan angka kematian mencecah 5,000 setiap tahun turut perlu diberi perhatian.

Advertisements

Lebih menyedihkan, katanya, mereka yang terlibat adalah kalangan remaja seawal usia 13 tahun dan belum pun layak memiliki lesen memandu.

Sehubungan itu, beliau mahukan agar Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tampil mengadakan usaha dan program bagi mendepani isu-isu kebejatan sosial yang berlaku.

“Dalam isu buli siber dan buli fizikal umpamanya, Pemuda, Puteri dan Siswa UMNO perlu menjalankan kempen dan menjuarai isu ini.

“Dalam isu perceraian umur muda, ibu bapa yang ditinggalkan, Wanita melalui Skuad Sayang dekati mereka dengan bimbingan,” katanya.

Sementara itu Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mahukan UMNO melahirkan kebijakan-kebijakan baharu yang sesuai dengan tuntutan semasa dana akan datang.

Beliau mahu 50 tahun akan datang berada pada tahap yang lebih baik hasil anjakan-anjakan yang dimulakan oleh UMNO pada hari ini.

“Anjakan sosial negara memberi maksud dan bertujuan membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai keterangkuman dan inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa mahupun budaya. Seperti kata bidalan, “cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit,” katanya.

Tambah beliau, anjakan sosial tersebut mencerminkan sebarang peralihan dalam norma, nilai dan amalan sosial ke arah yang lebih baik yang memandu masyarakat.

“Tujuannya, kita ingin bawa UMNO menjadi parti yang memenuhi aspirasi kepedulian sosial,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MoU ditawar kerajaan Perpaduan tidak berperlembagaan – Muhyiddin

PERJANJIAN persefahaman (MoU) yang ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan jelas tidak berperlembagaan malah bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan...

Lagi Artikel Berkaitan