DATUK Seri Shamsul Azri Abu Bakar diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.
Pelantikan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Shamsul Azri, 55, menggantikan Tan Sri Mohd Zuki bin Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos.
Kenyataan itu berkata, berpengalaman 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Shamsul Azri pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos 2024 bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 Ogos 2024,” kata kenyataan itu hari ini.
Shamsul Azri berkelulusan ljazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.
Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).
Kenyataan itu berkata, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan KSN.
Ini khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya. – Edisi 9