PENGERUSI LeapEd Services Sdn Bhd., Shahnaz Al-Sadat telah dicalonkan sebagai 10 peserta akhir Asia Education Medal atas sumbangannya dalam bidang pendidikan di negara ini.
Asia Education Medal yang julung kali diperkenalkan bagi memberikan penghargaan kepada individu yang mempunyai pencapaian cemerlang, menunjukkan impak, kepimpinan dan sokongan dalam bidang pendidikan.
Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam pendidikan, sumbangan dan pencapaian Shahnaz sangat panjang dari segi kualiti dan kuantiti.
“Beliau sangat percaya bahawa, bakat, bukan seperti peluang, ia diagihkan merentasi semua komuniti dan demografik, dan ini, menjadi teras usaha beliau.
“Saya menjadi saksi utama beliau, semenjak mengenali beliau dalam tempoh lebih 20 tahun, termasuk semasa menjadi pengurus beliau dan bagi saya, beliau layak untuk dinobatkan sebagai pemenang dalam anugerah berprestij ini,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional tersebut dalam kenyataan hari ini.
Shahnaz mengetuai LeapEd Services iaitu perusahaan sosial yang telah menerima pengiktirafan dan sebagai Penyedia Perkhidmatan Pendidikan tempatan pertama di Malaysia.
Di bawah LeapEd, beliau telah melaksanakan program transformasi pendidikan dan projek yang menyokong sistem, pemimpin sekolah, guru, murid, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas.
“Di LeapEd Services, Shahnaz menerajui Program Sekolah Amanah, di mana LeapEd menjadi rakan kongsi kerajaan Malaysia dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memantapkan sekolah merentasi pelbagai konteks: di luar bandar, di bandar, pendidikan agama, vernakular dan masyarakat peribumi.
“LeapEd menekankan pembangunan holistik yang telah membawa kepada pemupukan kemahiran kehidupan yang penting dalam kalangan murid, membolehkan mereka untuk cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dibekalkan dengan kemahiran penting untuk berjaya pada abad ke-21,” kata kenyataan tersebut.
Pada masa kini LeapEd telah bekerjasama dengan 1,000 sekolah awam dan 200,000 murid, mewakili 10 peratus sistem sekolah di Malaysia, dan hasilnya, telah mempengaruhi kemenjadian murid dalam keseluruhan sistem pendidikan.
Kenyataan itu berkata, melalui program pembangunan profesional dan inisiatif mentor, LeapEd membekalkan pendidik dengan pengetahuan, kemahiran, dan sumber yang diperlukan untuk menyampaikan pengajaran dan kepimpinan berkualiti tinggi, serta memupuk budaya penambahbaikan berterusan yang tulen.
“Kompetensi Pengajaran dan Kepimpinan Sekolah telah ditambah baik sebanyak lebih daripada 60 peratus berdasarkan penilaian asas mereka sepanjang 3 hingga 5 tahun tempoh intervensi, membawa sekolah ke tahap peluasan yang boleh menjadi penanda aras di peringkat global.
“Contohnya, sebuah Sekolah Amanah (SK Kempadang) telah menjadi Finalis 3 teratas dalam angerah World’s Best School bagi kategori Inovasi pada tahun 2022,” katanya.
Shahnaz juga merupakan pengasas Arise Asia, sebuah perkhidmatan sosial yang telah membantu pelbagai projek untuk menangani ketidakseimbangan sosial, dan merupakan Pemegang Amanah Pengasas Teach for Malaysia, yang merupakan rangkaian Teach For All.
Inisiatif terbaharu beliau adalah pelancaran sekolah digital pertama di Malaysia, iaitu Sekolah Anak Malaysia (SAM Education).
“Sasaran SAM adalah untuk menyediakan pendidikan berkualiti melangkaui sempadan bagi memperkasakan setiap kanak-kanak dengan pembelajaran digital yang khusus, yang menerapkan nilai-nilai Malaysia dengan perspektif global,” katanya.
Impak Shahnaz terhadap landskap pendidikan pula tidak dapat ditandingi apabila advokasi beliau amat berpengaruh di peringkat tempatan, serantau dan kebangsaan, dengan mempromosikan kesamarataan, kebolehcapaian dan pendidikan berkualiti.
Katanya, komitmen beliau telah memantapkan peluang dan keberhasilan pendidikan, khususnya terhadap golongan minoriti dan komuniti yang terabai.
Sementara itu, Asia Education Medal yang diasaskan oleh T4 Education dan HP merupakan satu daripada tiga World Education Medal yang ditubuhkan oleh T4 Eduction dan HP.
Asia Education Medal menyertai Africa Education Medal, yang ditubuhkan pada 2022 dan telah berkembang menjadi anugerah pendidikan paling berprestij di Afrika, serta anugerah baharu, Latin America Education Medal yang turut dilancarkan pada tahun ini.
Pemenang akan diumumkan pada bulan Oktober dan mereka akan dipilih oleh juri yang terdiri daripada individu terkemuka berdasarkan kriteria yang ketat. – Edisi 9