POLITEKNIK Ungku Omar (PUO) merekodkan pengambilan pelajar yang membanggakan bagi sesi pertama bagi tahun 2024/2025, melebihi sasaran yang ditetapkan.
Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,765 pelajar, PUO mencatatkan jumlah pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tertinggi di antara semua politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara tahun ini.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 1,629 merupakan pelajar daripada 17 program diploma, 123 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan dan 13 orang pelajar Program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh PUO, tetapi juga komitmen institusi ini dalam menyokong agenda pendidikan negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peningkatan jumlah itu juga dibantu oleh usaha mempromosi keterlihatan institusi secara berterusan melalui pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau secara digital.
Pencapaian itu, kata beliau, mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti TVET yang ditawarkan PUO.
Sementara itu Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Norman Zamri semasa menutup majlis suai kenal pelajar baharu semalam menekankan pentingnya integrasi dan semangat kerjasama di kalangan pelajar baharu.
Beliau menyarankan para pelajar memanfaatkan ruang dan peluang di PUO bagi meneroka potensi dan kebolehan diri serta mempertingkat kemajuan kendiri agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan negara kelak.
“Saya berharap para pelajar menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam aspek akademik bahkan membentuk sahsiah diri terpuji melalui pengalaman pembelajaran di politeknik,”katanya. – Edisi 9

