AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang hari ini.
Allahyarham yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sempat menziarahi Allahyarham di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut pagi ini.
“Betapa dalam doa dan rintihan hati saya berharap agar beliau sembuh dan dapat meneruskan perjuangan bersama-sama.
“Namun, Allah SWT lebih menyayanginya. Kita kehilangan seorang pejuang wanita yang amat komited dan setia terhadap parti dan amat prihatin terhadap masyarakat,” katanya hari ini.
Zahid yang juga Presiden UMNO mengucapkan takziah untuk seisi ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah mengharungi kehilangan tersebut.
“Dan, marilah kita iringi pemergian Almarhumah di hari Jumaat yang indah ini dengan doa semoga beliau ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah dan beroleh jannah. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemergian Allahyarham yang mesra dipanggil Ummi itu amat dirasai kerana Sharifah Azizah merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.
“Jasa dan bakti beliau untuk Negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan Sharifah Azizah, 63, dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dipercayai akibat pendarahan dalaman.
Bagaimanapun anaknya, Nadia Abu Bakar, kemudian dipetik berkata Sharifah Azizah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada Selasa lalu kerana sesak nafas, manakala organ dalamannya tiada apa apa masalah seperti yang diuar-uarkan.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. – Edisi 9

