28.3 C
Kuala Lumpur
Monday, September 16, 2024

Olimpik: Gema sorakan ‘Malaysia Boleh’ iringi kemaraan Zii Jia

Mesti Baca

GEMA sorakan “Malaysia Boleh” oleh para penyokong Malaysia di Porte de La Chapelle Arena mengiringi kemaraan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ke separuh akhir badminton Sukan Olimpik Paris 2024.

Kegamatan para penyokong Malaysia di bumi Eropah itu sedikit sebanyak membantu Zii Jia mengenepikan pemain pilihan keempat dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 di suku akhir awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kemenangan pemain profesional negara itu sekaligus bakal mempertemukannya dengan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang membuat kejutan menumbangkan pemain no. 1 dunia dari China, Shi Yu Qi, 21-12, 21-10.

Sokongan padu penonton telah membangkitkan semangatnya sehingga mampu mengawal permainan dengan baik berdepan Antonsen.

“Saya gembira dengan persembahan saya. Saya tenang dalam perlawanan besar ini, sementara Antonsen nampaknya terlalu ingin menang dan melakukan banyak kesilapan,” kata Zii Jia dalam temu bual selepas perlawanan.

“Di Sukan Olimpik, semua orang mahu menang, dan ia bergantung kepada siapa yang boleh bertenang dan menangani tekanan,” katanya.

Bertemu Kunlavut, Zii Jia mengakui rekod pertemuannya dengan pemain berusia 23 tahun itu tidak begitu baik.

Advertisements

“Dia adalah juara dunia dan baru mengalahkan pilihan utama.

“Dia pasti berada pada prestasi terbaik dan penuh keyakinan. Saya perlu mempersiapkan diri dengan baik,” katanya.

Dalam pertemuan sebelum ini, kedua-dua pemain, Zii Jia dan Kunlavut telah saling mengalahkan antara satu sama lain sebanyak empat kali.

Ini merupakan persembahan terbaik Zii Jia di Olimpik selepas sebelum ini tersingkir di peringkat 16 setelah ditundukkan oleh Chen Long dari China di Tokyo pada 2020.

Sementara itu, kekalahan Yu Qi yang juga pilihan utama untuk meraih emas menyebabkan China tidak mempunyai wakil di peringkat ‘podium’ bagi kategori perseorangan lelaki.

Dua lagi slot separuh akhir diisi oleh Lakshya Sen dari India yang menundukkan Chou Tien-chen dari Taiwan 19-22, 21-15, 21-12 dan Viktor Axelsen (Denmark) yang menumpaskan pemain Singapura, Loh Kean Yew 21-9, 21-17. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Antara ekonomi gig, minat belajar dan pendidikan tinggi

Oleh NIK AMALENA NAJEBAH NIK AZMAN PADA masa kini, ekonomi gig telah berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh...

Lagi Artikel Berkaitan