25.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

Bersatu kecewa, enam kerusi Parlimen tidak akan dikosongkan

Mesti Baca

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa kecewa selepas usaha untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen milik bekas ahli parti itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan yang dibuat Johari jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, keputusan Johari dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan kata Pengerusi Perikatan Nasional itu, beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.

“Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang hilang keahlian parti.

“Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan Bersatu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.

Justeru, tegas beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya.

Katanya, pentafsiran Bersatu terhadap perkara tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

Advertisements

“Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.

“Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah- langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti.

“Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan ahli dewan rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara.

“Maka, tindakan Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu melucutkan keahlian enam Ahli Parlimen serta seorang ADUN kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua kapal dagang berlanggar, Maritim Malaysia aktifkan Carilamat

DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul...

Lagi Artikel Berkaitan