Saturday, June 13, 2026

Usaha bawa turun jenazah pendaki negara di Alaska giat dilakukan

Mesti Baca

USAHA membawa turun jenayah pendaki negara, Allahyarham Zulkifli Yusuf yang meninggal dunia ketika mendaki puncak tertinggi di Amerika Utara, Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat sedang giat dilakukan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan tersebut, namun segalanya bergantung kepada keadaan cuaca.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles telah berhubung dengan ahli keluarga Allahyarham dan sedang memberikan bantuan konsular yang sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Edisi 9 sebelum ini melaporkan seorang pendaki negara disahkan maut manakala dua lagi cedera ketika cuba menawan puncak tertinggi di Alaska, Gunung Denali, Rabu lalu.

Zulkifli Yusuf disahkan meninggal dunia semasa berlindung di snow cave di kawasan dikenali sebagai Football field pada ketinggian 5,456 meter dari aras laut.

Kelab Jelajah Alphine Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kematian Zulkifli disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia namun akan disahkan melalui post mortem.

Kementerian Luar turut mengesahkan dua lagi pendaki warganegara Malaysia telah dimasukkan ke hospital dan sedang menerima rawatan.

“Konsulat Jeneral Malaysia sedang memantau keadaan kesihatan mereka dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mangsa bersama dua lagi pendaki negara, Zainudin Lot dan Muhammad Illaham Ishak terperangkap di puncak tertinggi di benua Amerika Utara itu sejak Selasa lalu akibat cuaca buruk.

Mereka dalam ekspedisi menawan dua lagi puncak tertinggi bagi melengkapkan misi Pendakian 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia iaitu puncak Denali di Alaska dan Vinson Massif di Antartika.

Gunung Denali mempunyai ketinggian 6,194 meter dari aras laut. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan