SERAMAI 99 warga asing termasuk seorang lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor dalam satu operasi berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
Pemangku Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor bersama Majlis Bandar Raya Iskandar Puteri dan Unit Penguatkuasa Cawangan Muar bersama Polis Diraja Malaysia (IPD Tangkak).
Beliau berkata, dalam operasi di Iskandar Puteri seramai 36 orang dan empat buah premis telah diperiksa.
Manakala di Tangkak pula, katanya, seramai 295 orang warga asing dan tempatan serta empat buah premis telah diperiksa.
“Kesemua mereka yang ditahan di Iskandar Puteri adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis, 10 lelaki dan enam perempuan warga Myanmar, tiga lelaki Thailand dan seorang perempuan Laos masing-masing berumur antara 25 tahun hingga 53 tahun.

“Manakala mereka yang ditahan di Tangkak adalah 36 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki dan tiga perempuan Nepal, 13 lelaki Pakistan, 12 lelaki Myanmar, lapan lelaki India dan seorang perempuan warga Kemboja masing-masing berumur antara 19 tahun hingga 51 tahun,” katanya dalam malam tadi.
Beliau berkata, kesemuaa warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63
(Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Manakala lelaki tempatan tersebut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing. Sebanyak 08 Notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat awam berhubung PATI yang disyaki bekerja tanpa pas/permit yang sah di premis tersebut,” katanya.
Mohd Faizal berkata, pihaknya dengan kerjasama semua jabatan penguatkuasa lain di negeri itu akan terus menggembleng usaha penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan isu kebanjiran PATI di negeri Johor dapat ditangani.
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI serta majikan dan pemilik premis yang mash menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah. – Edisi 9

