PEMBENTUKAN ‘otak dan watak’ amat signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu menjadi kriteria utama dalam pembangunan bakat di negara ini seterusnya menjayakan lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, elemen yang disebut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapannya pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 itu menjadi tunjang dalam melahirkan mahasiswa cemerlang akademik dengan sahsiah terpuji.
“Ciri-ciri bakat itu ialah mempunyai tahap pemikiran yang baik pada masa sama memiliki watak cemerlang.
“Dalam konteks mahasiswa, golongan itu perlu memperlihatkan adab, menghormati budaya dan bersikap sesuai individu terpelajar,” katanya.
Pada awal tahun ini, KPT menyenaraikan lima fokus utama untuk dilaksanakan bagi tahun 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya dan pembentukan ‘otak dan watak’ menjadi esensi kepada landasan utama pendidikan.
Mohammad Shatar berkata, pembentukan ‘otak dan watak’ dalam pembangunan bakat juga berkait rapat bersama kecemerlangan dengan jiwa kerana kita tidak mahu melahirkan watak atau bakat hebat tetapi tanpa jiwa.
Beliau berkata, perkara itu perlu dititikberatkan seterusnya diterjemah menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas atau mana-mana platform PdP lain.
“Dalam usaha ini, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam mahu pun swasta perlu memandang serius hasrat ini kerana mampu melahirkan generasi pelajar yang hebat.
“Sekiraya dapat dilaksanakan dengan jayanya, generasi yang dilahirkan bakal mempunyai kualiti serta kepakaran luar biasa dalam bidang masing-masing.
“Ini akan menjadi daya penarik kepada majikan dari dalam dan luar negara kerana bakat mereka memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh industri,” katanya. -Edisi 9