TANPA bantuan rakan-rakan media, GTR Burger tidak mungkin berkembang pantas dan dapat menembusi pasaran dalam masa yang singkat.
Itu ungkapan pertama yang diluahkan oleh Pengasas GTR Burger, Nordin Mat dalam satu majlis santai meraikan rakan-rakan media di ibu negara hari ini.
Menurut Nordin, ini memandangkan keberadaan jenama GTR Burger sejak kemunculannya dalam pasaran industri makanan segera di negara ini tiga tahun lalu banyak dibantu oleh peranan media.
“Program santai bersama media hari ini diadakan khusus untuk menghargai petugas media yang telah menyebar luaskan jenama kami dengan amat berkesan sekali.
“Selain itu, kita juga meraikan ulang tahun ketiga GTR Burger bertapak di pasaran di negara ini dengan memperkenalkan outlet Merchato di Menara TRX ini yang turut menyediakan GTR Burger dalam senarai menu mereka,” katanya kepada media.
Pada majlis ini, peniaga jalanan GTR Burger dari seluruh negara turut dijemput untuk meraikan sambutan ulangtahun jenama itu.
Turut hadir ialah Pengasas Bersama GTR Burger, Najib Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azli Saat.
Tambah Nordin, sumbangan petugas media yang membuat liputan dan penerbitan berita berkaitan GTR Burger, telah memberi impak yang besar kepada perkembangan ekonomi dan komuniti rantaian perniagaannya.
Liputan dan penyiaran oleh media juga katanya, telah membantu membina keyakinan pelanggan sekaligus mengukuhkan jenama GTR Burger di pasaran dalam masa yang singkat.
“Kami di GTR Burger amat berterima kasih kepada rakan-rakan media yang telah menyebarkan maklumat tentang entiti perniagaan kami kepada orang ramai sehingga jenama kami diterima oleh semua peringkat umur dan kaum di negara ini.
Sebagai jenama gerai jalanan, hari ini kami mencatat satu lagi perkembangan membanggakan apabila kita meletakkan produk GTR Burger di dalam Menara TRX yang terkenal yang turut menjadi ikon bangunan pencakar langit di ibu negara Kuala Lumpur ini.
Ini juga satu permulaan kepada GTR Burger untuk menyajikan burger jalanan yang sedap kepada pelanggan setia kami melalui banyak lagi jenis premis dan bukan hanya di gerai tepi jalan sahaja”, katanya.
Sementara itu, pada majlis yang sama, GTR Burger melancarkan menu terbaharunya, ‘Sliders’ iaitu burger bersaiz kecil yang lebih mudah untuk dimakan.
Sebagai simbolik sempena pelancarannya, rakan-rakan media diberikan penghormatan yang pertama menikmati dan merasai burger Sliders.
“Ini semuanya hanya sebahagian daripada perancangan besar sempena tahun ketiga wujudnya GTR Burger, malah banyak lagi perkara baharu, menu baharu dan perkembangan baharu sedang dirancang untuk terus menggerakkan GTR Burger ke tahap lebih tinggi.
“Kita berharap dengan hubungan erat GTR Burger dan agensi media sosial dan media arus perdana, kita boleh sama-sama membantu antara satu sama lain dalam meluaskan lagi pengetahuan masyarakat tentang GTR Burger dan apa yang kami tawarkan,” kata Nordin.
Untuk rekod, GTR Burger yang bermula pada tahun 2021, kini memiliki lebih 300 buah premis gerai burger jalanan yang menyediakan peluang menerusi pakej unik perniagaannya kepada mereka yang berminat. – Edisi 9