27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Balai Gambang Cempaka Sari rosak teruk, berbahaya

Mesti Baca

BALAI Gambang Cempaka Sari (BGCS) yang dibina sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada 2015 rosak teruk dan berbahaya kepada penumpang.

Sehubungan itu, BGCS yang dijadikan tarikan orang ramai menyelusuri Sungai Perak di Kuala Kangsar itu dihentikan operasi sejak Mac tahun lalu, kini dalam proses untuk dibaik pulih sepenuhnya.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata, pihaknya kini dalam proses untuk membaik pulih dan menyelenggara bot tersebut dengan kos hampir RM100,000.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyerahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan mereka telah membuat tinjauan bagi mengenal pasti jenis kerosakan pada November lalu.

Katanya, antara kerosakan yang dikenal pasti ialah keadaan tiang dan dinding bot yang sudah reput, kertas dinding yang lusuh dan koyak serta kebocoran pada bahagian tengah lantai bot tersebut.

“Dalam pada masa yang sama, pihak PKNPk sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Muzium Perak untuk menjadikan BGCS sebagai bahan pameran warisan bersejarah di negeri Perak.

“Terkini pihak PKNPk dalam proses fasa akhir bagi menyerahkan semula BGCS kepada JKR Perak untuk diperbaiki dan diselenggara sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, orang ramai melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat menyelusuri Sungai Perak menggunakan BGCS di Kuala Kangsar selepas bot tersebut tersadai dan tidak dapat beroperasi.

Advertisements

Intan Tantiyana berkata, selepas istiadat pertabalan tersebut, BGCS telah diserahkan kepada PKNPk oleh JKR Perak bagi tujuan tarikan pelancongan di Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Beliau berkata, BGCS tersebut digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut masing-masing berkuasa kuda 150 cc dan mampu membawa seramai 25 orang penumpang dalam satu masa bagi menelusuri Sungai Perak untuk tempoh masa 30 hingga 40 minit.

Bagaimanapun katanya, operasi BGCS terhenti seketika akibat penularan wabak Covid-19 dan kembali memulakan operasinya semula pada Februari 2022 di setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

Katanya, pada suku pertama tahun 2023 lalu, BGCS mencatatkan seramai 644 orang pengunjung.

“Ekoran Sungai Perak yang surut ke paras yang terlalu rendah pada bulan Mac hingga Disember 2023, struktur bot yang lama dan faktor cuaca yang panas melampau mengakibatkan BGCS mengalami kerosakan yang lebih buruk.

“Walaupun pihak PKNPk telah melakukan kerja-kerja baik pulih yang berterusan, struktur BGCS yang usang menjadikan pengoperasian BGCS tidak dapat diteruskan kerana boleh membahayakan keselamatan pengunjung,” katanya.

Untuk rekod Balai Gambang telah wujud sejak tahun 1754 yang dibina bersempena pertabalan sultan Perak yang baharu dan ia menjadi simbolik kepada Kesultanan Melayu negeri itu.

BGCS tersebut pula dibina khas menggunakan material yang khusus untuk upacara istiadat tersebut oleh 35 orang kakitangan JKR Perak serta 13 tenaga pakar dan pelajar Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur, Lumut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan