32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Menikmati keindahan ciptaan Tuhan di Cameron Highlands

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SETIAP daripada kita semestinya mempunyai keinginan untuk melihat keindahan ciptaan Tuhan di luar negara. Namun, sebelum itu apa kata ketahui dan nikmati dahulu betapa indahnya ciptaan Tuhan di bumi Malaysia kita yang tercinta ini. Salah satunya ialah Cameron Highlands.

Cameron Highlands di Pahang sudah sekian lama terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik kunjungan ribuan pelancong tempatan dan asing untuk mengunjunginya. Keindahan bumi Cameron Highlands benar-benarnya mengkagumkan setiap mata memandang.

Jom bersama saya untuk mengetahui tempat-tempat menarik yang saya kunjungi baru-baru ini.

HUTAN BERLUMUT CAMERON HIGHLANDS
Sekiranya anda seorang yang menyukai alam sekitar, anda mesti menyukai Hutan Berlumut atau Mossy Forest Cameron Highlands. Tempat ini dikenali sebagai hutan berlumut kerana persekitarannya yang semula jadi di tanah tinggi.

Pada ketinggian sedemikian, awan berada pada paras rendah di langit yang disapa oleh angin, menyelimuti hutan dengan kabus dan kelembapan yang berterusan sekali gus merangsang pertumbuhan untuk lumut, paku-pakis dan orkid.

Hutan berlumut Cameron Highlands sesuai untuk mereka yang gemarkan cabaran.

Kawasan tanah lembab di hutan hijau Tropika ini merupakan tempat untuk pelbagai jenis spesies pergunungan merangkumi serangga, haiwan dan ungags yang unik yang dapat hidup di kawasan yang dingin ini.

Kita boleh menerokai hutan berlumut melalui laluan pejalan kaki sejauh 2 kilometer sebelum ke puncak Gunung Brinchang. Untuk menaik sehingga ke puncak, amat digalakkan untuk mendapatkan penunjuk arah kerana mereka akan menggunakan pacuan empat roda untuk membawa kita ke atas sana.

LADANG THE BOH SUNGAI PALAS
Selain keindahan hutan berlumut, kita juga boleh melawati Ladang Teh Boh Sungai Palas yang terletak tidak jauh dari situ. Di Cameron Highlands, selain Ladang The Boh Sungai Palas, terdapat juga Ladang Teh Boh Habu di Ringlet serta Ladang Teg Bharat.

Ladang Teh Boh di Sungai Palas menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam keindahannya.

Di Ladang Teh Boh ini, kita dapat menikmati pemandangan yang sangat indah dan jangan lupa untuk merakam gambar sebagai kenangan. Bukan itu sahaja, kafe juga disediakan untuk menghirup teh panas sambil melihat pemandangan yang sangat menakjubkan.

Advertisements

Kita juga boleh melawat kilang pembuatan teh dan melihat sendiri bagaimana proses pembuatan teh dilakukan. Lawatan ini menjadikan pengalaman baharu bagi mereka yang tidak pernah mengetahui proses pembuatan teh.

TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDI
Taman ini sebenarnya adalah stesen penyelidikan pertanian yang terletak di Tanah Rata dan diuruskan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Dalam kawasan taman seluas 42 hektar itu, pengunjung boleh menerokai rumah bunga, rumah tanaman, tapak semaian, tanah ladang dan juga ladang teh kecil. Banyak spesis bunga, pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran ditanam di taman ini.

Stesen MARDI mula ditubuhkan oleh British pada tahun 1925 yang dikenali sebagai Federal Experimental Station. Teh mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1925 dan pokok teh tumbuh sihat di stesen sehingga hari ini. Kilang teh pertama yang dibina pada tahun 1935 masih mampu memproses teh hitam.

Taman Agroteknologi yang terletak di kawasan Federal Experimental Station yang dibina oleh British sejak tahun 1925.

Taman Agroteknologi MARDI terletak di dalam stesen ini dan telah dirasmikan oleh Sultan Pahang pada 14 Jun 2003. Sejak itu, kira-kira 65,000 pengunjung melawat taman ini setiap tahun.

Taman ini hanya berjarak 1 km dari Tanah Rata dan mudah dicapai dengan kereta, teksi, bas atau berjalan kaki. Antara tarikan utama ialah Taman Inggeris, pengeluaran strawberi, pengeluaran sayur-sayuran dan bunga potong, penyelidikan rumah hijau dan pusat jualan.

LADANG KEA
Ladang Kea merupakan satu lagi tempat yang wajar dikunjungi sekiranya melancong ke Cameron Highlands. Di sini terdapat pelbagai tanaman dan buah-buahan yang menarik seperti strawberi dan kaktus.

Adalah amat penting bagi kita untuk menghargai setiap ciptaan Tuhan yang dianugerahkan di bumi negara kita ini dan memberi keinsafahan tentang keagungan-Nya.

Sudah tentu bukan sahaja di Cameron Highlands malahan seluruh pelosok negara yang boleh kita nikmati. Cuma sama ada kita berkesempatan atau tidak untuk ke sana menjadi persoalan. – Erica Nurshafiqah Abdul Manan (Pelajar USIM) / Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan