31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Adat perkahwinan dalam suku kaum Sungai

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SABAH merupakan sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian etnik suku kaum. Antara suku kaum yang kurang dikenali adalah suku kaum Sungai atau mereka juga dipanggil Orang Sungai.

Asal usul etnik ini dicatatkan dalam sejarah bermula pada tahun 1881 apabila residen pertama Sandakan, Sir William Pryer terlibat dalam ekspedisi menelusuri Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud hingga kini.

Secara khususnya, orang Sungai merujuk kepada sebuah masyarakat yang tinggal di pinggir sungai. Bahkan, penempatan etnik ini terus berkembang ke seluruh pelosok daerah. Kini, kebanyakan Orang Sungai tinggal di daerah Kinabatangan dan Sandakan.

Salah satu adat yang berbeza antara Orang Sungai dengan kaum lain adalah adat perkahwinannya. Bahkan, adat perkahwinan antara Orang Sungai juga berbeza mengikut kepada tempat masing-masing.

Sebagai contoh adat perkahwinan Orang Sungai di Daerah Beluran di Bahagian Sandakan dan Orang Sungai Makiang Tongod di bahagian Kota Kinabalu.

  1. Merisik
    Perbezaan adat perkahwinan Orang Sungai di daerah Beluran dan Orang Sungai Makiang Tongod adalah ketika merisik.

Bagi Orang Sungai di daerah Beluran, ketika adat merisik pihak lelaki perlu memberikan pemberian kepada pihak perempuan sebanyak tiga kali sebagai tanda.

Pada pemberian pertama dan kedua pihak lelaki perlu memberikan sama ada air, kayu, barangan dapur, pakaian atau alat solek.

Manakala, ketika pemberian ketiga pula keluarga pihak lelaki akan ditanya oleh keluarga pihak perempuan sama ada pemberian tersebut mempunyai tujuan lain atau sekadar bersedekah.

Adat dan pakaian perkahwinan Orang Sungai berbeza mengikut tempat. – Foto: MOTAC/Blog Urang Sabah

Sekiranya pemberian sebanyak tiga kali itu tiada maksud lain, keluarga pihak perempuan perlu melaporkan kepada ketua kampung dan pihak lelaki akan dikenakan denda sebanyak nilai dua gong.

Denda ini bertujuan supaya tiada wanita dan ahli keluarganya diperkecilkan.
Berbeza pula dengan suku kaum Sungai Makiang Tongod. Bagi mereka, ketika merisik pihak wanita perlu memberikan jawapan sama ada menerima atau menolak lamaran tersebut selama tempoh tujuh hari.

Sekiranya pihak wanita tidak memberikan jawapan selama tempoh tersebut, mereka perlu memulangkan barangan yang diberikan dan membuat permohonan maaf kepada pihak lelaki kerana seolah-olah mempermainkan risikan pihak mereka.

  1. Meminang
    Apabila risikan diterima, proses yang perlu dilalui oleh kedua-dua pihak adalah proses meminang. Adat Orang Sungai di daerah Beluran, mereka mempunyai wang pembuka mulut setelah risikan diterima.

Wang pembuka mulut itu perlu diserahkan oleh pihak lelaki kepada ibu bapa pihak wanita barulah mereka membenarkan pihak rombongan lelaki menyatakan hasrat mereka.

Ketika itulah pelbagai perkara akan dibangkitkan untuk dibincangkan, sebagai contoh sekiranya salah seorang ahli keluarga mana-mana pihak tidak menghadiri perkahwinan, perlu didenda sebanyak sejumlah wang.

Atau sekiranya majlis perkahwinan dibatalkan disaat akhir maka wang pembuka mulut tersebut tidak boleh dikembalikan dan dinamakan sebagai buang laut.

Ketika itu juga mereka akan membincangkan tempoh bagi pertunangan. Misalnya, keluarga pihak wanita memberikan tempoh selama tiga bulan untuk memberikan wang hantaran.

Sekiranya pihak lelaki tidak dapat memberikan wang tersebut selama tempoh berkenaan maka tempoh tersebut akan disambung ke tiga bulan seterusnya.

Papan tanda kampung suku Orang Sungai Makiang Tongod
Advertisements

Sekiranya dalam dua kali tempoh tersebut pihak lelaki masih lagi gagal, maka ia terpulang kepada pihak wanita untuk menyelesaikannya dengan mengenakan hutang atau memutuskan pinangan tersebut.

Selain daripada wang hantaran, pihak lelaki juga perlu menyediakan rumah baharu, lembu dan kelengkapan set tidur.

Manakala, bagi Orang Sungai Makiang Tongod pula, ia sama seperti adat meminang Orang Sungai daerah Beluran di mana adanya perbincangan penyerahan barangan.

Tetapi perbezaan antara keduanya adalah daripada segi barangannya, di mana Orang Sungai Makiang Tongod, barangan yang perlu diserahkan kepada pihak wanita adalah parang dan tempayan.

  1. Bertunang
    Bagi Orang Sungai di daerah Beluran apabila segala permintaan pihak wanita telah ditunaikan, maka tarikh perkahwinan boleh ditetapkan dan dipercepatkan kerana tiada tempoh bertunang yang dikhususkan.

Semasa dalam fasa pertunangan, kedua-dua pihak tidak boleh untuk menggunting rambut dan ke tempat keramaian kecuali dengan izin antara mereka atau ahli keluarganya.

Jika salah satu perkara ini dilanggar, maka mereka akan dikenakan denda.
Sekiranya pihak lelaki memutuskan pertunangan tanpa sebarang masalah, maka dia perlu dihukum dengan pemberian satu gong atau abos.

Sama seperti Orang Sungai Makiang Tongod, pihak perempuan juga perlu meminta izin tunangannya untuk keluar supaya tidak diganggu oleh lelaki lain dan menyebabkan putus tunangan.

Pihak lelaki pula perlu menyediakan satu rumah sekiranya pasangan tidak mempunyai kediaman sendiri, tetapi jika ia gagal dipenuhi maka perkahwinan tersebut tidak boleh dijalankan.

  1. Persandingan
    Pada hari persandingan, pihak lelaki Orang Sungai daerah Beluran akan akan tiba di rumah pengantin perempuan pada watu tengahari, kerana itulah sebaiknya.

Pihak wanita pula akan menyediakan regi-regian atau peralatan dapur yang berjenis kaca sebagai hantaran dari pihak mereka.

Selain itu, mereka juga perlu menyediakan sebilah parang dan dulang yang berisi darah ayam untuk dipijak pengantin lelaki sebagai tanda merestui perkahwinan.

Mak Andam pula akan menabur beras kunyit kepada pengantin lelaki serta rombongannya. Pada ketika itu, pihak lelaki harus mengelilingi rumah sebanyak tiga atau tujuh kali pusingan.

Kemudian, selepas akad nikah, pengantin lelaki akan memasuki bilik pengantin perempuan dan akan memusingkan sapu tangan diatas kepala pengantin perempuan sebanyak tiga kali serta akan disambut oleh wanita tersebut sebagai tanda dia rela menerima pengantin lelaki itu.

Wanita dan gadis Orang Sungai. – Foto: sabasofficial.wordpress.com

Tetapi sebelum pengantin lelaki itu masuk ke dalam bilik tersebut untuk membuka tudung pengantin perempuan, Mak Andam akan menunggu diluar bilik untuk meminta sebilai pisau dan RM50 kecuali bagi wanita yang balu atau janda.

Bagi Orang Sungai Makiang Tongod pula, adat ini dipanggil sungkap pintu, di mana tujuannya adalah sama untuk melihat pengantin wanita di dalam biliknya tetapi mereka hanya perlu membayar RM1 sahaja kepada ibu dan bapa mentuanya.

Manakala, ketika di dalam bilik dia perlu membayar RM10 untuk membuka kelambu pasangannya.

Kesimpulannya, Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa yang berlainan, setiap satunya mempunyai adat dan keunikan mereka sendiri. Penting bagi semua masyarakat untuk mempelajari dan menghargainya. – Aina Afifah Ma’amor (Pelajar USIM) / Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan