BEKAS penyampai radio Suria FM, Tyzo, 47, mengakui ada membuat permintaan untuk menaikkan gajinya sebanyak RM500.
Namun tidak menyangka permintaannya itu tidak diendahkan malah situasi lain pula yang berlaku.
“Saya hanya minta naik gaji sebanyak RM500 sahaja. Tetapi ini yang saya terima.
“Pengurusan menolak permintaan saya itu, tetapi saya tetap tandatangani kontrak pada September lalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media, petang tadi.
Penama penuh Tuah Zolqarnain Idris itu berkata, dia turut terkilan apabila wujud dakwaan mengatakan dirinya besar kepala hanya kerana minta dinaikkan gaji.
“Mereka boleh mengambil tiga penyampai baharu tetapi tidak mampu untuk memberi kenaikan gaji yang saya minta.
“Kalau saya besar kepala atau berlagak diva, saya tidak akan tandatangan kontrak berkenaan,” luahnya kesal.
Dalam pada itu, Tyzo menafikan dakwaan dia tidak lagi berminat untuk terus berkhidmat di stesen radio berkenaan.
“Mereka buat kesimpulan saya tidak berminat hanya kerana tidak maklumkan awal mengenai keputusan berkaitan kontrak kepada pihak pengurusan.
“Berbeza dengan kontrak Sharifah Shahirah yang diperbaharui enam bulan sekali tetapi permintaan saya dipertikai pula,” katanya.
Tyzo berkata, dia juga sudi untuk berdamai dengan stesen radio berkenaan dan sedia kembali berkhidmat sekiranya masih diberikan peluang.
“Saya terbuka berdamai dan masih mahu kembali menjadi penyampai radio di Suria FM.
“Saya juga tidak ada masalah dengan stesen radio sebaliknya isu ini berlaku hanya antara saya, DJ Lin dan JJ.
“Saya sudah tahu kontrak akan ditamatkan pada 4 Januari lalu tetapi saya hanya berdiam diri sehingga 12 Januari, Jumaat lalu,” Katanya yang tidak reda dengan apa yang berlaku. -Edisi 9