DALAM usaha untuk terus kekal relevan dalam industri radio, Suria FM tampil memperkenalkan barisan baharu penyampai radionya iaitu Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok dan Kai Hassan.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, kemasukan penyampai baru di Suria FM ini adalah salah satu langkah Suria seiring dengan keperluan semasa, untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang ‘Radio Survey’yang akan berlangsung bermula 18 Februari hingga 30 Mac 2024 ini.
“Fizz Fairuz bakal keudara di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi.
“Manakala Kai Hassan, bakal keudara dan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan bagi kedua-dua segmen ini.
“Manakala Chiwan Cilok akan bergandingan bersama Rara menemani petang pendengar menerusi segmen Suria Petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 3 petang sehingga 7 petang.
“Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio,” katanya pada majlis pengenalan mereka, baru-baru ini.
Selain memperkenalkan penyampai baharu, Suria FM turut menyajikan seleksi program hiburan dan ilmiah menarik antaranya Seikhlas Suria di mana Suria FM dengan berbesar hati ingin memberikan wang tunai sebanyak RM24,000 kepada pendengar bagi menghargai mereka yang masih menyokong Suria FM.
“Bermula 22 Januari sehingga 16 Februari, pendengar hanya perlu menghantar Whatsapp bagi pendaftaran di segmen (Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang atau Suria Cinta) dan pendengar berpeluang mendapat RM300.
“Selain itu, Ybae Suria Masuk Kampung adalah program CSR bagi mendekatkan penyampai Suria bersama penduduk setempat.
“Penyampai dan penduduk kampung akan menyediakan juadah dan berbuka bersama.
“Pendengar Suria boleh hantarkan penyertaan nama kampung dan ceritakan kenapa Ybae Suria harus ke kawasan mereka pada bulan Ramadan nanti.
“Tidak ketinggalan program Kempen Raikan Yang Dirai yang akan diadakan bersempena Ramadan Raya yang bakal tiba di mana Suria FM dengan bangganya bakal menghasilkan Drama Raya Suria 2024, lagu raya Suria, dan pelbagai program menarik,” katanya. -Edisi 9