25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Bukan tanggungjawab DJ Lin, dia hanya mangsa tuduhan – SMRG

Mesti Baca

SUSULAN kontroversi penamatan kontrak penyampai radio, Tyzo Xander, wakil stesen radio Suria FM tampil menjawab segala persoalan dan dakwaan yang timbul sehingga membabitkan nama DJ Lin.

Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata, pihaknya kesal apabila isu itu turut memberi kesan kepada DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM.

Katanya, DJ Lin bukan individu yang bertanggungjawab membuat keputusan, sebaliknya segala keputusan yang sudah muktamad datang daripada dirinya sendiri.

“Saya sudah maklumkan pada Tyzo bahawa kontraknya tidak diteruskan dan mencadangkan tarikh akhir dia bersiaran adalah pada 12 Januari lalu.

“Saya juga minta dia buat rakaman sesi akhir di konti dan dia maklumkan tidak akan berbuat demikian kerana dia seorang yang profesional.

“Apa yang berlaku, Tyzo tidak buat rakaman, sebaliknya bersiaran langsung dan turut minta salah seorang pekerja ambil video.

“DJ Lin kebetulan ketika itu ada sama untuk mewakili Suria menyampaikan ucapan terima kasih tetapi Tyzo pula menyatakan ini adalah satu penganiayaan buatnya.

“Video berkenaan tular dan siapa yang mendengar serta melihat video itu akan bersimpati dengan Tyzo serta menyalahkan Suria FM.

“Disebabkan video itu juga DJ Lin menerima kecaman teruk, ada yang menyuruh letak jawatan dan memecat DJ Lin. Anak-anak DJ Lin juga turut menjadi mangsa kecaman warganet.

“Akibat semua ini, siapa sebenarnya mangsa? Mangsanya adalah DJ Lin, kredibilitinya menurun dan reputasinya terjunam,” katanya pada sidang media Ruang Udara Suria yang diadakan di Menara Star, Damansara, petang tadi.

Mohd Aminuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah SMRG berkata, kontrak Tyzo sepatutnya berakhir pada 9 Mac depan selepas Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu bersetuju untuk memperbaharui kontraknya selama enam bulan sahaja.

Memandangkan Suria FM bakal tampil dengan barisan penyampai baharu bermula Isnin minggu depan, Tyzo direhatkan daripada bersiaran bersama Sharifah Shahira.

Advertisements

“Kontrak Tyzo berakhir pada Oktober tahun lalu dan menerusi perbincangan pada Ogos tahun sama, kita menawarkan kontrak selama setahun tetapi Tyzo mahu sambung selama enam bulan sahaja. Oleh itu, kita setuju kontraknya berakhir pada 9 Mac tahun ini.

“Kemenangan Tyzo pada Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tidak membantu menaikkan rating Suria FM. Saya berpendapat kita mesti rombak semula Suria FM.

“Lagipun Tyzo dilihat sudah tidak berminat untuk bersama Suria FM kerana dari awal dia hanya mahu kontraknya bersambung enam bulan dan dia tidak datang menemui kami untuk berbincang mengenai kontraknya.

“Ingin saya tegaskan di sini, ia adalah tanggungjawab saya. Saya tidak kenal rapat dengan dia dan ini bukan keputusan peribadi.

“Lagipun pihak Suria tetap membayar gajinya sehingga kontraknya berakhir 9 Mac depan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Tyzo yang meminta penambahan gaji, Aminuddin tidak menolak ada perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung pada pertimbangan dan sekiranya kontrak sudah ditandatangani, maka persetujuan telah dicapai.

Dalam pada itu, Mohd Aminuddin menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Suria FM.

“Setakat ini pihak kami tidak merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Tyzo, tetapi selepas ini sesiapa sahaja yang buat kenyataan, kami akan pertimbangkan untuk ambil tindakan selanjutnya.

“Kami juga tidak akan menunggu  permohonan maaf daripada dia,” katanya lagi.

Terdahulu, Suria FM minggu lalu mengumumkan khidmat Tyzo Xander sebagai penyampai Suria FM menerusi segmen Suria Petang berakhir secara rasmi pada 12 Januari lalu.

DJ Lin dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang dibuat adalah langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk yang lebih menarik serta segar bagi tahun 2024. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan