32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Filem ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ bertukar pengarah

Mesti Baca

PENERBIT filem sekuel Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Studio Kembara menjelaskan hanya 30 hingga 35 peratus hasil kerja pengarah Areel Abu Bakar digunakan dalam versi penuh filem sekuel berkenaan.

Penerbitnya, Abdul Rahman Dali berkata, baki selebihnya adalah hasil pengarahan bersama Shahruddin Dali dan Saiful Reza yang telah dipilih menggantikan Areel.

“Kami membuat keputusan untuk menggantikan pengarah kerana melihat ada sudut-sudut boleh menjejaskan produk akhir filem ini.

“Atas faktor itu kita ambil alih untuk siapkan. Hanya itu sahaja yang dibuat. Hal lain tidak ada isu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, penggambaran filem itu dimulakan oleh Areel Abu Bakar namun nama pengarah itu tiba-tiba digugurkan April lalu tanpa alasan rasmi walaupun filem berkenaan didakwa sudah disiapkan sebanyak 90 peratus.

Areel yang juga pengarah filem Walid mengakui akibat keputusan itu dia murung tiga hari namun hatinya terubat selepas karyanya berjaya mendapat tayangan di Los Angeles dan New York.

Disember lalu, ketika majlis pengumuman runut bunyi dan trailer Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Abdul Rahman sekali lagi mengunci mulut mengenai pengarah yang bakal menyiapkan filem sekuel Mat Kilau itu.

Dia hanya menjawab nama Areel digugurkan ekoran enggan terbabit kontroversi dan sebarang perkara yang boleh menimbulkan perbahasan.

Sementara itu, pada majlis sama, pengarah dan penulis skrip, Shahruddin Daly berkata, pihak produksi tidak berniat untuk berahsia mengenai senarai pelakon dan sebagainya.

Sebaliknya mereka mengambil pendekatan untuk menyiapkan penggambaran terlebih dahulu.

“Kita tidak merahsiakan pelakon, tetapi ambil keputusan untuk siapkan penggambaran dahulu.

“Apabila semuanya sudah siap dan selesai dengan baik, barulah kita hebahkan kepada semua orang,” katanya.

Advertisements

Mengulas tentang kos pembikinan filem terbabit, Abdul Rahman berkata, setakat ini kos sudah mencecah RM15 juta termasuk kos promosi.

“Tidak dinafikan ada pembaziran yang berlaku kerana kita jalani penggambaran semula. Sebagai orang baru, kita tidak ada pengalaman lagi,” katanya.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah kesinambungan daripada naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencipta fenomena luar biasa dengan kutipan RM97 juta pada tahun 2022.

Perjalanan filem kali ini diaduk antara fiksyen dan bukan fiksyen, membawa penonton menyaksikan usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan bantuan.

British yang mendapat tahu perkara itu cuba menangkap Tok Gajah dan Awang perlu memastikan misi British tidak berjaya. 

“Alur cerita ini bukan fiksyen tetapi diinspirasikan daripada kisah sebenarnya. Contohnya beberapa kejadian yang berlaku adalah kisah benar, tetapi nama watak itu kita fiksyenkan namanya.

“Daripada segi penggunaan dialog, saya tidak menekankan ayat yang terlalu baku atau klasik agar penonton lebih mudah faham selepas mendengarnya,” kata Shahruddin.

Katanya lagi, segala kisah benar yang dimuatkan dalam sekuel ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum menghasilkan Mat Kilau.

“Saya mahu membentangkan sebuah kisah untold story, jadi saya ambil inisiatif dengan berjumpa sendiri cucu cicit pahlawan Melayu ini dan tidak hanya bersandarkan kepada buku semata-mata.

“Saya rasa kita juga perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber dan bahan lain kerana kita paparkan kisah yang belum pernah di dengar. Saya rasa itu lebih menarik,” katanya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dibintangi oleh Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi, Hasnol Rahmat dan ramai lagi.

Filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 11 Januari ini. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan