PELAKON yang semakin meningkat naik, Amir Ahnaf, 23, memohon maaf dan berjanji untuk lebih berhati-hati sebelum mengambil sebarang tawaran dalam menjayakan sesuatu watak.
Ia susulan video tular yang memaparkan Amir menjayakan babak tidak sopan dalam drama ii sehingga meraih kecaman warganet.
“Jujurnya saya tidak tahu perlu menjayakan babak seperti itu dan pada mulanya saya berat hati juga hendak buat.
“Saya minta maaf isu ini menyentuh sensitiviti penonton. Insya-Allah saya akan lebih berhati-hati lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem pertama lakonannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Putrajaya, selasa lalu.
Bekas Hero Remaja 2021/2022 itu berkata, pada awal dia hanya dimaklumkan mengenai tajuk, jalan cerita dan senarai pelakon, manakala skrip pula diterima seminggu sebelum penggambaran bermula.
Namun begitu, sebagai pelakon baharu, dia takut untuk menolak menjayakan babak panas itu kerana bimbang dituduh besar kepala.
“Saya sudah tanda tangan kontrak dan saya pula orang baru. Takut juga nanti dikatakan besar kepala. Apa pun, ini saya akan lebih berhati-hati dan berbincang kalau ada yang tidak kena.
“Saya lega kerana ibu bapa faham akan kerja saya dan ingin saya beritahu di sini, babak itu hanyalah cheat shot sahaja dan bukannya terjadi betul-betul,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai wataknya dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Amir berkata, dia menerima tawaran itu tiga hari sebelum penggambaran.
Katanya, sukar untuk menolak watak Andak kerana dia diperlukan untuk membawa watak anak Terengganu yang mempunyai kemahiran bersilat.
“Abang Reza sebelum ini terbabit dengan pembikinan Projek High Council dan dia yang tawarkan watak ini sebab dia rasa saya adalah pelakon yang paling sesuai untuk watak Andak.
“Walaupun tawaran ini datang kurang tiga hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang kerana Andak ini dekat dengan jiwa saya sebagai anak Terengganu.
“Saya memang tidak pandai memanah tetapi saya sempat berlatih dan buat kajian tentang cara memanah serta pegang pedang.
“Bagi saya sebagai pelakon kita harus sentiasa bersedia dan cepat belajar,” katanya lagi. -Edisi 9