PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dapat membuktikan dakwaan itu, sekali gus membuktikan kerajaan pimpinan Anwar konsisten dalam menipu.
“Sehubungan dengan itu, kami menggesa PMX (Anwar) memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, menerusi jawapan bertulis yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung perkara itu di Dewan Rakyat semalam, melengkapkan lagi bukti pembohongan Anwar.
“Dalam jawapan tersebut, Menteri menjelaskan bahawa selepas SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tuduhan terlalu umum dan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan itu.
“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat PMX selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan PMX,” katanya.
Semalam media melaporkan, siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.
Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.
“Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini dan tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,”katanya.
Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya dilaporkan berkata, kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.- Edisi 9