24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

ASEAN Festival 2023 sasar 20,000 pengunjung

Mesti Baca

ASEAN Festival 2023 yang sedang berlangsung menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dalam usaha mempromosikan budaya, masakan dan hiburan daripada negara ASEAN yang terbabit.

Berlangsung di LaLaport BBCC, Kuala Lumpur acara yang dijangka berakhir Ahad ini menjanjikan persembahan dan sambutan budaya yang luar biasa.

Pengasasnya, Eldrick Koh berkata pemilihan lokasi yang strategik meyakinkan beliau festival berkenaan tidak hanya menarik pengunjung tempatan malah mampu menarik pelancong asing untuk hadir.

“Festival ini julung kali diadakan dan ia adalah bukti kepada warisan ASEAN yang kaya dan beraneka selain menawarkan pengalaman berbeza dalam budaya pelbagai termasuk masakan, muzik dan persembahan memukau.

“Menerusi festival ini kami membahagikan kepada tiga komponen utama iaitu ASEAN Market di mana kira-kira 90 gerai menawarkan pelbagai produk dan kraf dari negara-negara ahli termasuk barangan unik, dan hidangan makanan serta minuman.

“Komponen kedua adalah ASEAN Travel Fair yang menyediakan Pameran ASEAN untuk Muslim dan bukan Muslim yang menampilkan wakil-wakil dari pelbagai agensi pelancongan negara terbabit.

“Seterusnya, komponen terakhir adalah Pesta Muzik ASEAN yang menyajikan pertunjukan budaya oleh kedutaan Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia termasuk tarian tradisional selain petunjukan muay thai, peragaan fesyen dan konsert muzik,” katanya.

Advertisements

Eldrick berkata, pihaknya berharap dengan penganjuran kali pertama ini ia bakal menjadi festival tahunan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia.

Antara negeri yang disenarai sebagai lokasi untuk penganjuran seterusnya ialah Pulau Pinang dan Sabah.

Sementara itu, pengasas bersama Gillian Ooi berkata, festival ini mendapat sokongan rasmi oleh Tourism Malaysia, Kerajaan Malaysia Madani dan Kedutaan ASEAN serta pelbagai persatuan, jenama dan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa di negara ini.

“Kami berharap orang ramai akan datang dan tidak melepaskan peluang dalam mencuba pelbagai keunikan budaya merangkumi seksyen gastronomi yang menawarkan pengembaraan dari negara ASEAN yang berbeza.

“Selain makanan, mereka juga boleh menerokai produk-produk aksesori tulen dan produk seni dan kraf yang menarik.

“Sepanjang acara juga, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti pakej pelancongan dalam dan luar negara serta beberapa lagi hadiah lain termasuk telefon Vivo terbaharu, jam tangan Honor, peluang untuk memandu uji dan memenangi basikal elektrik,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan