PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan empat bidang kerjasama bagi memperluas dan memperdalamkan kolaborasi dalam ASEAN, untuk memperkasakan rakyatnya supaya berdaya tahan dan lebih mampu menangani cabaran masa depan.
Beliau menjelaskan kepada pemimpin ASEAN dan Jepun selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tokyo, empat bidang itu ialah Kesihatan Awam, Pengawalan Iklim, Pengurusan Bencana dan pertukaran Rakyat dengan Rakyat.
Anwar berkata belajar daripada pandemik COVID-19, ASEAN dan Jepun mesti terus berwaspada terhadap krisis kesihatan masa hadapan.
Dalam hal ini, ketika rantau ini bergerak ke arah mengoperasikan Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Memuncul beliau berkata Malaysia mencadangkan agar Negara Anggota ASEAN dan Jepun menempatkan penyelidik di pusat itu.
“Kita harus mengumpulkan penyelidik daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan pengetahuan, bagi membentuk satu pasukan yang boleh membantu menangani cabaran kesihatan masa hadapan dengan lebih baik,” katanya dalam ucapannya semasa Agenda 3 bertemakan Heart to Heart Partners Across Generations.
Mengenai pengawalan iklim, Perdana Menteri berkata ASEAN dan Jepun harus terus bekerjasama rapat, untuk memajukan strategi mitigasi dan penyesuaian serantau dan nasional.
ASEAN dan Jepun harus mengambil kira keputusan penting COP28, terutamanya mengenai pengiraan stok global, matlamat global untuk adaptasi dan dana kerugian dan kerosakan.
“Saya mengalu-alukan komitmen awal Perdana Menteri Kishida sebanyak AS$10 juta untuk perkara itu dan saya menggalakkan Jepun untuk melakukan lebih lagi dalam membantu negara membangun dengan peralihan tenaga secara adil, teratur dan saksama,” katanya.
Anwar berkata rantau itu telah menyaksikan peningkatan dalam kejadian cuaca ekstrem, daripada kemarau hingga banjir dan tanah runtuh, yang memerlukan tindakan daripada bidang ketiganya iaitu – pengurusan bencana.
Beliau berkata inilah sebabnya Malaysia menghargai sumbangan Jepun untuk mengoperasikan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (Pusat AHA).
Anwar mencadangkan kerjasama yang lebih mendalam dengan Jepun, dalam usaha berterusan untuk menubuhkan Pusat Bantuan Bencana Kekal, memanfaatkan pengalaman dan kepakaran luas Jepun dalam pengurangan risiko bencana.
Dalam menyatukan rakyat di rantau ini, Malaysia menghargai inisiatif Jepun seperti JENESYS1, yang membantu merapatkan jurang budaya dan memupuk rasa identiti bersama.
Adalah sesuatu yang penting untuk program JENESYS kembali kepada format asal bersemukanya, untuk interaksi bermakna dalam kalangan pelajar dan belia kita.
Di pihak Malaysia, beliau berkata negara itu akan menggalakkan pelajar dari semua Negara Anggota ASEAN ke kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun di Malaysia, untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi mereka.
Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan inisiatif baharu Jepun ‘Perkongsian untuk Mencipta Masa Hadapan Bersama dengan Generasi Akan Datang’.
Berikutan cadangan ini, para pemimpin menerima pakai kenyataan visi dan pelan pelaksanaan yang memberi tumpuan kepada kerjasama masa depan di bawah tema penciptaan bersama, pada akhir sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak peringatan itu dipengerusikan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, selaku tuan rumah dan Presiden Indonesia Joko Widodo. – BERNAMA