27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

Tiga rakan strategik bantu perluas khidmat Bank Rakyat

Mesti Baca

BANK Rakyat memperluaskan perkhidmatan kewangannya melalui kerjasama tiga rakan strategik iaitu Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia, KPJ Healthcare University serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

Kerjasama itu akan membuka peluang baharu dan membawa manfaat besar kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya pelajar universiti dan umat Islam.

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat akan memperluaskan Program Sekolah Tanpa Tunai di institusi pendidikan di bawah seliaan Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia yang kini merangkumi 54 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), enam Kolej MARA dan empat Kolej Profesional MARA.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata Program Sekolah Tanpa Tunai Bank Rakyat bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan mencipta ekosistem tanpa tunai di premis sekolah.

Katanya, program itu juga memberi manfaat kepada pelajar berusia 13 hingga 17 tahun serta ibu bapa mereka yang boleh memantau perbelanjaan dan transaksi anak-anak melalui perbankan internet.

“Menerusi kerjasama ini, pelajar dan sekolah dapat menikmati pelbagai kemudahan perkhidmatan dan produk perbankan Bank Rakyat seperti pembukaan akaun simpanan, kad debit khas untuk pelajar, pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) serta kemudahan terminal POS untuk pengusaha kantin sekolah dan koperasi sekolah selain platform perbankan digital termasuk aplikasi iRakyat, Duitnow QR, DuitNow serta JomPay,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kerjasama dengan KPJ Healthcare University bertujuan untuk membantu pelajar menampung yuran pengajian dan kos sara hidup di samping bagi memastikan golongan belia dapat mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti sejajar dengan konsep Malaysia MADANI khususnya bagi memacu pembangunan modal insan menerusi pendidikan.

Advertisements

Pada 2018, Bank Rakyat mula bekerjasama dengan KPJ Healthcare University, yang juga anak syarikat KPJ Healthcare Bhd untuk menyediakan Pembiayaan Pendidikan-i kepada pelajar peringkat pengajian Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan dengan tawaran pembiayaan sehingga RM250,000 termasuk kos sara hidup dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun.

Bermula 2023, Bank Rakyat meluaskan penyediaan program pembiayaan ini ke peringkat pengajian Diploma Kejururawatan.

“Saya percaya pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang lebih cerah dan amat berharap agar inisiatif ini dapat membantu lebih ramai lagi pelajar mencapai impian mereka,” kata Muhammad Hanis.

Bank Rakyat turut mengumumkan kerjasama dengan PAPUH bagi menyediakan penyelesaian kewangan merangkumi kos umrah dan haji termasuk perbelanjaan jemaah di Makkah dan Madinah.

Muhammad Hanis berkata, menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menawarkan pakej patuh Syariah untuk tujuan umrah dan haji termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Kad Kredit-i, Kad Debit-i, Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah serta perkhidmatan kiriman wang asing kepada agensi pelancongan untuk membuat bayaran ke luar negara dengan kadar tukaran yang kompetitif dan lebih pantas.

Enam agensi pelancongan di bawah PAPUH yang terbabit menerusi kerjasama ini adalah Eiman Travel and Tours, Alif Travel and Tours, Wira Saujana Travel and Tours, TM Tours and Travel, Barakah Umhaj Travel and Tours dan Al Ilmi Travel and Tours. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai...

Lagi Artikel Berkaitan