27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

MBM gesa semua pihak sokong Minggu Solidariti Palestin KPM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menggesa semua pihak menyokong penganjuran Minggu Solidariti Palestin oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah-sekolah.

Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Fauzi Fadzil berkata, segala polemik berkaitan penganjuran progam yang mahu mewujudkan advokasi terhadap perjuangan rakyat Palestin itu wajar dihentikan serta-merta.

“Ia (Minggu Solidariti Palestin) bertujuan supaya maklumat yang diterima pelajar tidak diselitkan dengan usur militan atau subversif di luar pagar sekolah.

“Niat murni KPM semenjak awal lagi adalah untuk mengetengahkan isu dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Kita harus menyakini bahawa KPM sama sekali tidak bermaksud mengheret pelajar ke arah konflik keganasan, tetapi mahu memberi kesedaran kepada pelajar sekolah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan berkata, KPM telah menyahut pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan solidariti terhadap perjuangan dan kesengsaraan rakyat Palestin melalui penganjuran Minggu Solidariti Palestin.

“Namun terdapat insiden terpencil di mana sebuah sekolah telah menganjurkan program solidariti untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin di luar waktu dan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM.

“Sekolah berkenaan membenarkan pelajarnya bersolidariti dengan melibatkan replika senjata mainan.

“Perbuatan tersebut telah mengundang tindak balas negatif daripada sesetengah pihak yang menggesa KPM mengkaji semula kesesuaian program sedemikian di sekolah.

Advertisements

“Bagaimanapun, MBM mengambil pendirian untuk menyokong solidariti terhadap perjuangan dan kesengsaraan rakyat Palestin seperti yang dianjurkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ujar beliau, perbuatan pihak pentadbiran sekolah yang menganjurkan program solidariti yang tidak mengikut waktu dan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Perbuatan sesetengah pihak yang menyemarakkan polemik Minggu Solidariti Palestin telah mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu sebenar iaitu solidariti terhadap kesengsaraan dan perjuangan rakyat Palestin.

“KPM juga telah mengambil tanggungjawab mewujudkan garis panduan program Minggu Solidariti Palestin secara terperinci menerusi pekeliling bertarikh 21 Oktober 2023 (tidak dibenarkan membakar atau memijak bendera, tidak dibenarkan membawa logo militan atau keganasan di sekolah),” katanya.

Dalam pada itu, dalam perkara berkaitan katanya, MBM menyatakan kekesalan terhadap kegagalan Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk bertindak menyelesaikan konflik di Semenanjung Gaza.

“Laporan terkini menyatakan bahawa tidak kurang 7,000 rakyat Palestin telah terkorban, jumlah tersebut akan terus meningkat akibat kegagalan UNSC menghentikan perbuatan terkutuk Zionis membedil orang awam Palestin.

“Pada masa sama bekalan elektrik dan internet telah dipotong serta bantuan makanan telah dihalang untuk disalurkan kepada rakyat Palestin, perbuatan ini sengaja dilakukan oleh rejim Zionis apabila masyarakat dunia mulai sedar dan menyatakan sokongan dan simpati terhadap kesengsaraan rakyat Palestin.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Malaysia tidak peduli dengan keputusan UNSC yang gagal mencapai kata putus berhubung perang Israel-Palestin, malah Malaysia akan terus kekal dengan pendirian supaya kekejaman di Palestin mesti dihentikan selain bantuan kemanusiaan disalurkan segera,”katanya.

Penganjuran Minggu Solidariti Palestin oleh KPM telapun bermula pada 29 Oktober lalu dan akan berakhir pada 3 November 2023. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kempen dengan idea, hujah bukan hina pihak lawan – Akmal

KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mahukan agar para pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) berkempen secara sihat dan...

Lagi Artikel Berkaitan