29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Tiada salah guna kuasa dalam siasatan kes fitnah isteri PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS mengesahkan tiada sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan berlaku dalam siasatan yang dijalankan ke atas hantaran didakwa berbaur fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan secara profesional berlandaskan prosedur yang ditetapkan undang-undang.

“Malahan kertas siasatan berkaitan kes terbabit telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Sehubungan dengan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan oleh pihak-pihak tertentu berhubung isu kegagalan menjawab soalan pegawai penyiasat semasa rakaman percakapan diambil di bawah Seksyen 113 Kanun Tatacara Jenayah.

“Sebaliknya, keengganan memberi kerjasama dilihat daripada konteks kegagalan memberi maklumat berhubung capaian kepada data berkomputer sebagaimana peruntukan Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Mohd Shuhaily berkata, melalui peruntukan tersebut, seseorang pegawai polis yang menjalankan suatu penggeledahan hendaklah diberi capaian kepada data berkomputer termasuk diberi kata capaian, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan apa-apa cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer.

Isnin lalu, penyedia kandungan pro Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga dipanggil Bukit Aman bagi membantu siasatan berkaitan hantaran di akaun Instagram miliknya yang memaparkan Wan Azizah bersama pemimpin luar negara.

Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dirakam percakapan hampir tiga jam selepas hadir bersama peguam di Bukit Aman.

Kandungan hantaran Syarul Ema merupakan hantaran semula yang dimuat naik daripada akaun Instagram milik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan