26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Public Gold sasar pasang 30 mesin ATM emas di MYDIN

Mesti Baca

PUBLIC Gold menjalin kerjasama dengan peruncit dan pemborong halal terbesar di negara ini, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) untuk menambah bilangan mesin juruwang automatik (ATM) emas di cawangan MYDIN seluruh negara.

Kerjasama itu menyasarkan untuk memasang sebanyak 30 unit mesin ATM emas menjelang pertengahan tahun depan.

Rancangan pengembangan itu dibuat sejajar dengan peningkatan permintaan produk emas fizikal, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Public Gold melihat kerjasama itu penting, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki emas fizikal sebagai simpanan jangka panjang.

ATM emas itu diiktiraf oleh Malaysia’s Book of Records sebagai ATM pertama yang mengeluarkan produk emas fizikal di Malaysia.

Matlamat utamanya adalah untuk memberikan lebih keselesaan kepada pelanggan Public Gold yang terdiri daripada rakyat tempatan, asing dan pelancong, untuk membeli produk emas pada bila-bila masa hanya dengan menekan satu butang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Wira Louis Ng, berkata berdasarkan kajian terbaharu syarikat itu terhadap pasaran emas Malaysia, 70 peratus komuniti Muslim di negara ini memilih untuk melabur dalam dinar emas, manakala baki 30 peratus memilih jongkong emas.

“Ini adalah disebabkan dinar emas adalah patuh Syariah dan digunakan secara meluas sebagai mata wang di negara Islam tertentu.

Advertisements

“Justeru, ia lebih banyak disimpan dan mempunyai nilai pelaburan lebih besar dalam kalangan Muslim,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan akan meneliti semula idea untuk menggunakan dinar emas sebagai mata wang rizab semasa pertemuan ahli ekonomi dan kewangan Islam, yang dijadualkan bulan depan.

Beliau juga menambah bahawa penggunaan dinar emas adalah satu cadangan terpuji dan memberikan satu alternatif kepada negara-negara, sekali gus mengukuhkan kestabilan ekonomi domestik.

Buat permulaan, Public Gold telahpun memasang lima unit mesin ATM di MYDIN USJ, Selangor; MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang; MYDIN Pelangi Indah dan MYDIN Mutiara Rini masing-masing di Johor serta MYDIN Tunjong, Kelantan.

Menuju ke hadapan, Public Gold akan memasang tiga lagi unit mesin ATM di MYDIN Seremban 2 dan MYDIN Senawang di Negeri Sembilan serta MYDIN Manjoi, Perak bulan depan.

“Sasaran utama kami untuk memasang mesin ATM emas di seluruh negara adalah untuk memberikan lebih keselesaan dan akses mudah kepada pelanggan terhadap produk emas kami.

“Ini adalah bagi menggalakkan tabiat menyimpan yang baik dan mewujudkan budaya sihat dalam kalangan rakyat untuk menyimpan emas fizikal sebagai usaha membina kekayaan,” kata Ng lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan