31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Libya berminat hantar 1,000 pelajar ke Malaysia

Mesti Baca

KERAJAAN Libya berminat untuk menghantar seramai 1,000 pelajarnya bagi menyambung pendidikan tinggi di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini.

Perkara itu dinyatakan ketika perbincangan dalam kunjungan hormat Atase Akademik Kedutaan Libya ke Malaysia, Dr. Aiman Elmahmodi ke Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, negara dari Afrika Utara itu mempunyai 5,000 pelajar yang semua ditaja biasiswa 100 peratus untuk dihantar ke luar negara.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 1,000 pelajar akan dihantar ke Malaysia kerana keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan tinggi negara ini.

Katanya, agenda utama perbincangan itu ialah bagi memperkukuh jalinan antara MQA dengan badan akreditasi Libya, The National Center for Quality Assurance and Accreditation of Educational and Training Institutions (NCQAAETI).

“Perbincangan ini juga bagi memudahkan proses kemasukan pelajar dari Libya untuk menyambung pengajian ke Malaysia kerana mereka juga berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi pelajar selepas ini.

“Mereka datang berjumpa MQA bagi memastikan bahawa syarat kemasukan, penarafan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di Malaysia di peringkat sarjana dapat direalisasikan segera,” katanya.

Advertisements

Hadir sama pada pertemuan itu, Penolong Atase Akademik Kedutaan Libya, Dr. Mohamed A.M Ahssi, Penasihat Atase Akademik Kedutaan Libya, Norhawaty Mansor; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan), Abdul Saman Taip; Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (UHEAA), Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Mohammad Shatar berkata, kohort pertama pelajar sarjana dari Libya akan masuk ke beberapa universiti awam pilihan mereka bermula awal tahun depan.

Katanya, MQA akan memberi komitmen dalam memudah cara kemasukan pelajar Libya ke IPT di Malaysia bersama rakan agensi lain di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

“MQA juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama NCQAAETI yang dijangka pada tahun 2024.

“Jalinan kerjasama itu bagi memastikan lebih ramai pelajar Libya memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan menyambung pengajian selain kerjasama dalam usaha mendapatkan pengiktirafan bersama dua badan autoriti jaminan kualiti pendidikan tinggi.

“Usaha ini akan membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan