BERANG dengan suami, seorang wanita di India didakwa menggigit telinga kanan suaminya sehingga putus selepas mereka bertikam lidah.
Portal NDTV melaporkan, jurucakap polis mengesahkan insiden berlaku di luar daerah Sultanpuri di New Delhi, India, pada Ahad.
Mangsa berusia 45 tahun memberitahu polis bahawa bahagian atas telinga kanannya terputus akibat gigitan dan dia terpaksa menjalani pembedahan.
“Saya pergi membuang sampah di luar rumah sekitar 9.20 pagi pada 20 November lalu. Saya meminta isteri membersihkan rumah.
“Tidak lama selepas saya pulang ke rumah, isteri saya mula bergaduh dengan saya kerana isu yang tidak diketahui,” lapor mangsa kepada polis.
Susulan itu, mangsa memfailkan laporan terhadap perbuatan isterinya selepas menerima rawatan.
Menurut mangsa, ketika bertengkar, isterinya itu memintanya menjual rumah dan memberi sebahagian hasil jualan itu supaya dia dapat tinggal berasingan dengan anak-anak.
“Saya cuba membuat dia faham, tetapi pertengkaran mulut berlaku. Dia juga cuba memukul saya, tetapi saya menolaknya.
“Ketika saya berjalan keluar dari rumah, dia (isteri) memegang saya dari belakang dan dalam keadaan marah menggigit telinga kanan saya dengan kuat sehingga bahagian atas telinga saya terputus.
“Anak membawa saya ke Hospital Sanjay Gandhi di Mangolpuri untuk mendapatkan rawatan,” kata mangsa kepada polis.
Katanya, dia juga perlu menjalani pembedahan di Hospital Golden Jaipur di Rohini.
Menurut polis, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 20 November daripada sebuah hospital dan satu pasukan dihantar untuk menyiasat perkara itu.
“Pada 22 November, mangsa menghubungi polis dan memberikan aduan bertulis. Kami sudah mendaftarkan laporan maklumat pertama (FIR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. -Agensi