BARU sahaja melabuhkan tirainya, namun masih lagi terngiang-ngiang di ingatan, konsert yang paling ditunggu-tunggu peminat rock tahun ini ‘Noah Menemaniku Kuala Lumpur’ yang berlangsung di Mega Star Arena KL @ Sg Wang Plaza.
Jika tahun lalu kemunculan Noah di pentas Zepp tidak cukup memuaskan hati penonton disebabkan ramai yang tidak dapat menyaksikannya berikutan tempat yang terhad.
Kali ini dengan skala lebih besar, lebih 5 ribu penonton enjoy dan puas hati dengan konsert yang dibawakan oleh YOLO Malaysia.
Noah yang dianggotai Ariel (vokalis), Lukman (gitaris) dan juga David (pemain keyboard) memulakan persembahan dengan lagu Topeng, di mana Ariel muncul di tengah-tengah pentas mini berkuasa hidrolik dari bawah dengan sorakan penuh gegak-gempita memecah keheningan setiap penjuru konsert.
Kemudian, lagu-lagu hits mereka seperti Separuh Aku, Menemaniku, Menunggumu, Tak Bisakah, Bintang Di Syurga dan lain-lain turut dipersembahkan dengan hampir 24 buah lagu kesemuanya.
Lebih istimewa, penyanyi rap tanah air, Joe Flizzow turut membuat kemunculan istimewa menyanyikan lagu baharu Noah berjudul Suara Dalam Kepala bersama-sama Ariel dengan tepukan yang paling gemuruh.
Melihat sambutan yang diterima Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Irham, berkata, dia dan Noah sangat menghargai sokongan peminat, namun sudah mengambil keputusan untuk berehat seketika.
“Lokasi tahun lalu terlalu kecil, jadi kami buat di lokasi lebih besar, tapi masih kelihatan kecil kerana sangat ramai yang hadir. Terima kasih kepada peminat yang hadir.
“Ini akan akan jadi show terakhir kerana kami akan bercuti panjang. Kami punya sejarah lumayan di Malaysia, jadi suka atau tidak, tetap harus terima.
“Sudah hampir 20 tahun kami menyanyi. Kami akan merindukan kamu semua, yang selalu menjadi penonton dan memberikan sokongan luar biasa.
“Terima kasih Malaysia, kami sangat menghargai malam ini,” katanya.
Sehari sebelum konsert, sebuah majlis makan malam ‘meet & greet’ berkonsepkan santai bersama Noah dengan peminat-peminat bertuah dihoskan Dina Nadzir telah diadakan di hotel terkemuka, Grand Hyatt, di mana peminat berpeluang merasai aktiviti ‘fun & games’ bersama Noah.
Sementara itu, Pengasas YOLO Asia, Ib Harun, berkata, walaupun ini adalah konsert terakhir Noah di Kuala Lumpur, YOLO Asia akan mengalihkan fokusnya pula terhadap konsert NOAH di Singapura di bawah kelolaan YOLO Singapore yang bakal berlangsung pada 17 Disember depan di Singapore Expo Hall 1.
“Kami juga turut berbangga mengumumkan pelancaran YOLO Japan, di mana YOLO Japan adalah rakan penganjur bagi konsert Noah Live in Yokohama yang berlangsung pada 5 November lalu, di Yokohama Bay Hall, Jepun,” katanya.
Jangan lupa dapatkan tiket Noah Energized Singapore (YOLO Singapore) di laman web YOLOasia.com tidak lama lagi. -Edisi 9