31.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

JIM pandang serius penganiayaan terhadap pekerja asing

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius isu penganiayaan terhadap pembantu rumah asing (PRA) Indonesia dan tidak akan berkompromi terhadap majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian PRA.

Tegasnya, bukan sahaja mereka akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, malah akan disenarai hitam daripada mendapatkan perkhidmatan PRA.

“JIM ingin menjelaskan bahawa jumlah pekerja asing Indonesia yang mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) sehingga 16 Oktober 2023 adalah seramai 447,094 orang dan daripada jumlah ini, bilangan PRA Indonesia adalah sebanyak 57,916.

“JIM tidak menerima aduan secara rasmi daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berkaitan penderaan, penganiayaan dan manipulasi pekerja Indonesia seperti dilaporkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Advertisements

“Jabatan ini mengalu-alukan pihak KBRI untuk mengemukakan aduan secara spesifik kepada JIM supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa laporan berita yang disiarkan pada Ahad berkenaan isu penganiayaan terhadap PRA Indonesia oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono.

Ruslin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.

Selain itu katanya, kebajikan dan perlindungan kepada pekerja domestik Indonesia adalah antara perkara yang telah dimasukkan dalam memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Indonesia mengenai penggajian dan perlindungan pekerja domestik Indonesia di Malaysia.

“JIM menyeru orang awam melaporkan dan menyalurkan sebarang maklumat berkenaan majikan yang menganiaya atau mengeksploitasi pekerja asing kepada jabatan ini supaya tindakan yang tegas dapat diambil ke atas majikan terbabit,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan