31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

PM jumpa pengurusan kanan syarikat teknologi terkemuka di APEC

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat teknologi terkemuka ketika menghadiri sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) bermula esok. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata berikutan daripada kehadiran Perdana Menteri di San Francisco, MITI mengatur pertemuan satu dengan satu bersama pihak pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

“Mesyuarat ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan memudahkan kehadiran Perdana Menteri di AELM ke-30 yang bertemakan ‘Mewujudkan Ketahanan dan Masa Depan Mampan untuk Semua’ dari 14 hingga 17 November 2023.

Katanya, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia, sambil diiringi oleh beliau, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pegawai kanan kerajaan.

“Kehadiran Perdana Menteri mencerminkan cadangan pembabitan aktif Malaysia pada AELM ini dan akan menyumbang ke arah usaha menangani isu yang kritikal di peringkat serantau, terutamanya di Asia Pasifik.

Advertisements

“Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia di Dialog Ekonomi Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC.

“Acara ini akan bertindak sebagai peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan pemimpin APEC, ketua pegawai eksekutif(CEO) yang berpengaruh dan usahawan yang berjaya,” katanya.

Di luar acara AELM, Tengku Zafrul akan mengiringi Perdana Menteri ke Mesyuarat Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) Kedua pada 16 November 2023.

IPEF, rangka kerja kerjasama 14 negara di Indo-Pasifik, telah ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Joseph Biden untuk menangani jangka panjang isu ekonomi, membolehkan rakan kongsi bertindak balas dengan pantas dan seiring dengan cabaran dan peluang global baharu.

Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan ekonomi integrasi dalam kalangan Ekonomi APEC serta membincangkan mengenai bagaimana perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengimbangi kesan geopolitik dan kerumitan geoekonomi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan